redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tak sangka akan berkahwin dengan warga asing, macam bermimpi kerana saya dan keluarga pernah anggap suami scammer (penipu) dulu,” kata Azizah Razali, 46, ketika menceritakan kisahnya yang berkahwin dengan Mohamed Awad Abdgawad Abdelsalam, lelaki kelahiran Mesir.
Bercerita lanjut, Azizah yang juga usahawan berkata, dia dan suami tidak sempat bercinta dan berkahwin sebulan selepas berkenalan di laman sosial.
“Kami berkenalan selepas suami hubungi melalui Facebook (FB), namun saya ambil masa dua minggu untuk balas salam perkenalannya kerana ingatkan dia scammer.
“Saya pula menetap di India ketika itu manakala suami di Mesir dan dia luahkan hasrat nak berkahwin sehari selepas saya membalas mesejnya di FB.
“Sangat terkejut waktu itu kerana saya tak mengenalinya dan ingatkan dia bergurau. Keluarga pun tak setuju pada awalnya kerana fikir dia (suami) scammer walaupun dua kakak saya berkahwin dengan lelaki United Kingdom (UK) dan Pakistan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Seperti pasangan lain, Azizah dan suaminya juga tidak dapat lari daripada ujian dengan cabaran utama mereka adalah kewangan.
“Kami perlukan kewangan yang kukuh bagi menyediakan dokumen secara sah buat kedua-dua belah pihak terutama di Malaysia kerana kita semua maklum kesukaran mendapatkan visa dari imigresen.
“Perbezaan bahasa pun jadi cabaran terbesar kerana suami dulu tak tahu bertutur bahasa Inggeris, saya pula tak pandai cakap bahasa Arab hingga kena guna Google Translate untuk terjemahan.
“Tapi mungkin kerana itu, kami susah nak bergaduh. Suami pun sangat memahami dan berusaha menggembirakan saya dahulu. Contohnya tinggal di Malaysia adalah keputusan suami kerana saya masih ada ibu bapa sedangkan dia yatim piatu,” katanya.
Menurut Azizah, dia sedar segelintir individu ada pandangan negatif bila wanita Melayu dan orang tempatan sepertinya berkahwin dengan warga asing.
Katanya, dia diberitahu bahawa warga asing berkahwin yang dengan wanita Malaysia hanya untuk ambil kesempatan berniaga di sini, gunakan untuk buat pinjaman dan akhirnya tinggalkan.
“Saya tak nafikan ada berlaku kes sebegitu, tetapi bukan semua warga asing adalah sama.
“Buruk baik perangai seseorang bukan disebabkan bangsa, agama atau warganegara tetapi sikap individu itu.
“Saya bersyukur dikurniakan suami penyayang dan berfikiran terbuka jadi berharap perkahwinan kami kekal sehingga ke akhir hayat serta sama-sama bertolak ansur untuk membahagiakan rumah tangga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



