Fandi kecewa gagal kutip tiga mata

Fandi kecewa gagal kutip tiga mata

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad kecewa selepas skuad itu gagal untuk mencatat kemenangan selepas tewas 2-3 kepada Sabah FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Bekas legenda bola sepak Singapura itu berkata, skuad Tok Gajah tidak seharusnya tewas selepas bermain cemerlang terutama pada babak kedua perlawanan.

“Bagi saya kita seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal untuk memanfaatkan sekurang-kurangnya enam peluang iaitu tiga daripadanya menghasilkan gol pada babak kedua dalam usaha menambah jaringan.

“Nasib tidak menyebelahi Sri Pahang dan keputusan pada perlawanan malam ini amat mengecewakan kerana saya percaya Sri Pahang akan bangkit dan menang.

“Tetapi biarpun bermain dengan baik, keputusan perlawanan akan menentukan segalanya yang menyaksikan Sri Pahang terlepas tiga mata di tempat sendiri,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Mengulas lanjut kekalahan itu, Fandi mengakui ketumpulan jentera serangan menyebabkan skuad itu gagal untuk memberi tentangan kepada lawan selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Katanya, prestasi dan tahap konsisten menunjukkan peningkatan selepas seri dengan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Selangor FC tetapi anak buahnya gagal melakukan penyudah.

“Kegagalan itu menyebabkan pasukan tewas ketika peluang untuk menang ada tetapi dinafikan dengan ketumpulan di bahagian serangan,” katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain import, Kpah Sherman pada minit keenam dan 48 manakala tiga gol pelawat pula masing-maisng satu oleh Jafri Firdaus Chew pada minit ke-15, Muhammad Farhan Roslan (m-25) dan Daniel Ting (m-34.

Keputusan itu menyaksikan skuad Tok Gajah berada di kedudukan ke-10 apabila sekadar mengutip enam mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top