Bekas isteri pelawak, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh meluahkan rasa berang apabila selebriti tidak hadir ke mahkamah bagi urusan pendaftaran perkahwinan mereka.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Fara kesal apabila Shuk mengabaikan notis mahkamah yang telah diterimanya sejak sebulan lalu.
“Kau dah dapat notis sebulan lepas dan ada pihak yang dah ingatkan kau pasal tarikh mahkamah untuk daftar perkahwinan ni, ini semua untuk kepentingan anak, bukan aku!
“Kau bersenang lenang bercuti dengan anak-anak kau dengan mentua, sedangkan tahu hari ini ada masa penting. Segala urusan aku kau susahkan,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, berdasarkan status lain di platform sama, Fara turut mendakwa Shuk tidak memberi kerjasama apabila dia meminta dokumen penting berhubung diagnostik masalah jantungnya yang berada di tangan bekas suaminya itu.
Jelas Fara, dokumen tersebut diperlukan untuk kegunaan semasa bersalin bagi mengetahui status jantungnya.
Fara yang kini sarat hamil lapan bulan itu mendedahkan Shuk tidak mengambil berat atau bertanya mengenai persiapan anak yang dalam kandungannya itu.
Malah, Fara juga mendedahkan bukti WhatsApp perbualan bersama Shuk yang telah memaksanya untuk rujuk, dipercayai menjadi punca selebriti itu menyusahkan urusan anak.
Sebelum ini, Fara berkata urusan pendaftaran perkahwinan itu amat penting baginya bagi memastikan anaknya boleh berbintikan nama Shuk.
Terdahulu, Fara mengesahkan Shuk telah melafazkan cerai terhadapnya melalui panggilan telefon.