Farawahida pilih pegawai kerajaan

Farawahida pilih pegawai kerajaan

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas setahun hidup solo, penyanyi Farawahida melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan jejaka pilihan hati, Zulkifli Alias di Taiping, Perak, semalam.

Penyanyi lagu Tanpamu itu bernikah dengan Zulkifli yang juga pegawai kerajaan di Masjid Daerah Taiping, kira-kira jam 10.40 pagi.

Sehari sebelum bernikah, pasangan terbabit mengikat tali pertunangan pada majlis yang dianjurkan di sebuah inap desa di Changkat Jering, Taiping.

Farawahida atau nama sebenar, Farawahida Razali mengabadikan peningkatan usia 36 tahun semalam, sebagai hari pernikahannya.

“Jika mengikut perancangan awal, kami mahu bernikah Ogos depan. Namun, keputusan dibuat untuk mempercepatkannya.

“Selepas bernikah, kami anjurkan majlis resepsi dengan mengundang 100 tetamu,” katanya.

Bercerita mengenai suami, Farawahida berkata, Zulkifli adalah duda tiga anak.

“Kami sebaya dan dia berasal dari Melaka,” katanya.

Akui Farawahida, perkenalannya dengan Zulkifli berputik di gelanggang badminton

“Kami bermain dalam pasukan sama sejak dua tahun lalu. Pada awalnya, saya tidak mengesyaki apa-apa. Hubungan kami lebih kepada rakan riadah.

“Suami tidak banyak cakap. Saya pula sejak kembali solo, malas hendak mencari pengganti.

“Tidak sangka dia menyimpan perasaan dalam diam. Saya pernah memuat naik foto dirinya dan teman lain ketika bermain badminton. Namun, tidak dihidu sesiapa.

“Kami mula rapat sejak akhir tahun lalu,” katanya.

Farawahida mengaku sukakan lelaki sederhana dan tidak ‘bising’ atau ‘loud’.

Sebelum ini, Farawahida pernah berkahwin dengan Abdul Shukor Mohd Zain pada 16 Disember 2013.

“Saya fikir kisah perkahwinan lalu usah diungkit lagi. Tiada jodoh antara saya dan bekas suami.

“Kami berpisah cara baik sejak setahun lalu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top