Aksi separuh akhir All Star Championship 2025 yang berlangsung di Bunker Damansara pada Sabtu lalu menyajikan pertarungan sengit serta penuh kejutan apabila beberapa peserta menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan yang mencuri tumpuan ramai.
Antara detik menarik malam tersebut termasuk kemenangan aktor Fareez Fauzi yang mara ke pentas akhir selepas menewaskan Koroy dalam perlawanan mendebarkan dari awal hingga akhir.
Sementara itu, harapan pempengaruh Imranul Effendy untuk bertemu adiknya, Izzlan, tidak kesampaian apabila Izzlan tewas kepada Amir Harris.

Turut mencuri perhatian, pelakon Shahidan Izwan tersingkir selepas tumpas kepada Sonic yang tampil dengan pukulan tepat dan konsisten, manakala penyanyi Fariq McFly terpaksa akur selepas dikalahkan oleh atlet silat, Oyot, yang beraksi penuh disiplin dan kawalan.

Menurut penganjur All Star Championship, Datuk Abdul Rahman Soltan, kejohanan kali ini membuktikan keberanian dan dedikasi tinggi para peserta dalam mempersembahkan aksi setanding atlet profesional.

“Saya kagum melihat semangat dan disiplin mereka. Walaupun ada yang menganggap pertandingan ini sekadar hiburan, hakikatnya semua peserta menjalani latihan intensif dan beraksi dengan komitmen tinggi.
“Melihat sambutan luar biasa penonton, saya yakin All Star Championship kini menjadi fenomena baharu sukan tempur moden,” katanya.
Tambahnya, edisi kali ini turut menggabungkan elemen sukan dan dunia digital bagi memperkukuh promosi pelancongan domestik menerusi kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Arena Sukan Kuala Lumpur bakal menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM270,000 kepada para pemenang.

Sementara itu, pelakon Fauzi Nawawi yang juga bapa kepada salah seorang peserta menyifatkan All Star Championship 2025 sebagai platform yang berjaya menyatukan dunia sukan dan digital secara positif.
Katanya, penglibatan selebriti dalam arena ini mampu meningkatkan minat masyarakat terhadap tinju selain memberi ruang kepada peminat menyaksikan pertarungan yang profesional dan sihat.

“Kita perlu pandang inisiatif ini secara terbuka kerana ia bukan sahaja mempopularkan sukan tinju dalam kalangan anak muda, malah mencipta suasana kompetitif yang sihat. Saya harap lebih ramai akan memberi sokongan,” ujarnya.
Tiket bagi menyaksikan aksi final secara langsung di Arena Sukan Kuala Lumpur pada 18 Oktober akan mula dijual dalam masa terdekat.




