Fareez Fauzi, Mat Alip & Imranul Effendy Juara All Star Championship 2025! Bawa Pulang RM50,000 & Trip Ke Dubai

Fareez Fauzi, Mat Alip & Imranul Effendy Juara All Star Championship 2025! Bawa Pulang RM50,000 & Trip Ke Dubai

Tiga selebriti dan pempengaruh media sosial tanah air, Fareez Fauzi, Mat Alip dan Imranul Effendy dinobatkan sebagai juara All Star Championship 2025, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta percutian eksklusif ke Dubai untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa.

Pertandingan yang dianjurkan oleh All Star Influencer Sdn. Bhd. itu menampilkan pertembungan hebat antara pempengaruh popular yang bukan sahaja aktif mencipta kandungan digital, tetapi juga berani membuktikan keupayaan mereka dalam bidang kecergasan dan sukan berprestasi tinggi.

Dalam kategori Flyweight, Mat Alip menewaskan Oyot dengan kelebihan dari segi ketahanan dan teknik pukulan tepat. Sementara itu, Imranul Effendy mengungguli kategori Lightweight selepas menundukkan Amir, manakala Fareez Fauzi dinobatkan sebagai juara Midweight selepas mengatasi cabaran sengit daripada Sheikh Sonic.

Pertandingan turut diserikan dengan aksi istimewa daripada pempengaruh Indonesia, Yusman Kusuma, yang berentap menentang Fahmi dalam perlawanan persahabatan penuh semangat dua negara serumpun.

Penganjur kejohanan, Datuk Abd Rahman Soltan, menyifatkan penganjuran kali ini sebagai bukti bahawa dunia digital dan kecergasan boleh bergerak seiring.

“Ramai peserta datang dari latar belakang berbeza, tapi semuanya menunjukkan disiplin luar biasa. Mereka bukan sekadar mahu menang, tetapi juga mahu mencabar kemampuan diri,” katanya.

Menurutnya lagi, kejohanan ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi menggabungkan elemen sukan, gaya hidup dan promosi pelancongan.

“Program ini bukan sekadar pertandingan fizikal. Ia platform untuk membina komuniti aktif, memperkasa anak muda dan membuktikan bahawa dunia pempengaruh boleh memberi inspirasi positif kepada masyarakat,” tambahnya.

Lebih 100 pempengaruh dari All Star Influencer Award (Asia 2025) mewakili 20 negara turut hadir memberi sokongan, menjadikan suasana pertandingan lebih meriah dan bertaraf antarabangsa.

Juara kategori Flyweight, Mat Alip, menyifatkan kemenangannya sebagai bukti kemampuan pempengaruh untuk bersaing dalam arena sebenar.

“Saya nak tunjuk yang pempengaruh bukan hanya tahu buat kandungan di media sosial, tapi juga ada semangat juang dan disiplin tinggi,” katanya.

Sementara itu, Imranul, juara Lightweight, berkongsi cabaran menurunkan berat badan daripada 75 kilogram ke 65 kilogram sebelum kejohanan.

“Prosesnya memang sukar, tapi saya jadikan setiap cabaran itu sebagai motivasi untuk terus maju. Kemenangan ini saya dedikasikan untuk ibu dan seluruh pasukan yang banyak membantu,” ujarnya.

Bagi Fareez, pelakon yang meraih gelaran juara Midweight, kejayaan itu menjadi ganjaran atas usaha berterusan dalam latihan.

“Saya bermula tanpa banyak pengalaman, tapi saya percaya dengan proses dan latihan yang konsisten. Akhirnya semua kerja keras itu berbaloi,” katanya.

Ketiga-tiga pemenang All Star Championship 2025 bakal diterbangkan ke Dubai untuk menyertai peringkat antarabangsa, satu peluang besar mengangkat nama pempengaruh Malaysia ke pentas dunia.

Scroll to Top