Farid dakwa setahun tiada komunikasi dengan Diana

Farid dakwa setahun tiada komunikasi dengan Diana

fatin.farhana@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Farid Kamil, 44, mendakwa dia dan bekas isteri, Diana Danielle yang bercerai pada 24 Mac lalu, sudah tidak berhubung selama kira-kira setahun.

Sebaliknya, Farid berkata, dia berkomunikasi dengan dua anak mereka, iaitu Muhammad dan Nur Aurora yang diletak di bawah penjagaan Diana.

Tiada komunikasi sudah hampir setahun. Kami besarkan anak-anak dengan baik dan itu matlamat yang kami tumpu sekarang.

“Zaman sekarang, budak-budak ada telefon pintar sendiri. Jadi, komunikasi bukan macam dahulu.

“Muhammad dan Aurora masing-masing ada telefon pintar, jadi, tidak ada isu ‘breakdown communication’. Kami sekarang berada dalam dunia dan ruang masa berbeza,” katanya ditemui pada sesi tayangan media filem Munajjim: Sekutu Iblis di sini, malam tadi.

Pada sesi tayangan filem itu, Farid ditemani Muhammad.

Bertanya sama ada apa yang dilalui sekarang memberi maksud dirinya sudah ‘move on’, Farid berkata, dia semakin berusia dan lebih cermat.

“Saya akui sekarang lebih tenang dan bahagia. Saya beri fokus kepada diri sendiri.

“Sudah hampir setahun, kita ‘move forward’ dengan hidup kita. Anak saya pun sudah sama tinggi dengan David Teo. Jadi, perubahan masa lebih pantas dan ‘no turning back’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farid memilih untuk tidak mengulas perkongsian Diana dalam sebuah program audio siar, baru-baru ini.

“Saya tidak tahu nak komen apa. Tetapi, saya ada lagu. Telah Aku cuba untuk berikan bunga… Itu sahaja,” katanya.

Dalam temuramah program audio siar itu, Diana dilapor menyebut perceraian bukanlah momen paling luka, sebaliknya, dianggap sebagai hubungan rapat yang hilang dalam perkahwinan.

Diana dilapor memberitahu: “Momen kehilangan rumah tangga bukanlah titik terendah dalam hidup saya. Namun, kehilangan sahabat baik dalam perkahwinan… Itulah titik paling rendah dalam hidup saya.”

Netizen rata-rata mengandaikan ‘sahabat baik’ yang dimaksudkan Diana dalam program itu merujuk kepada Farid.

Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Mereka bercerai kali pertama menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023 sebelum rujuk kembali. Namun, pasangan itu bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac lalu.

Sementara itu, Farid tampil dalam filem Munajjim: Sekutu Iblis yang membawa penonton menelusuri sebuah keluarga yang sangat mempercayai bomoh dalam amalan hidup mereka.

Selain Farid, naskhah ini dibintangi Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis serta Daniel Aqil.

Munajjim: Sekutu Iblis arahan Faizul A Rashid dengan kerjasama syarikat gergasi TGV edaran antarabangsa oleh D’ Ayu Pictures melalui sokongan promosi Empire Solutions akan menemui penonton di pawagam tempatan mulai Khamis ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top