Farid Kamil rindu 'bau' keluarga

Farid Kamil rindu 'bau' keluarga

najiy.jefri@hmetro.com.my

Seri Kembangan: Bagi mengubati kerinduan terhadap isteri tercinta, Diana Danielle dan dua permata hatinya iaitu Muhammad dan Nur Aurora, pelakon Farid Kamil memilih untuk memperbanyak istighfar sebagai satu terapi.

Mengakui sentiasa diselubungi perasaan rindu terhadap ahli keluarganya, Farid juga tidak putus berdoa supaya dia dapat memberikan kebahagiaan buat mereka.

“Satu perkara yang saya akan sentiasa rindukan adalah ‘bau’ keluarga itu. Kenangan bersama anak-anak dan isteri.

“Mungkin percutian bersama keluarga juga. Itu perkara yang saya rindu. Setiap kali terbit perasaan rindu saya memperbanyak istighfar. Bila istighfar, insya-Allah hati akan rasa tenang dalam apa jua keadaan.

“Pada saya, di dalam situasi sekarang tiada senjata, bahan atau warna yang boleh menyampaikan hasrat saya ketika ini melainkan doa. 

“Saya tidak berhenti berdoa agar suatu hari nanti keluarga saya kembali berbahagia seperti dulu insya-Allah… itu harapan saya,” katanya.

Farid ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Hukum Kifarah di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai hubungan dengan Diana, Farid  berkata situasi masih sama dan mereka sudah lama tidak bertentang mata.

“Terus terang perhubungan saya dengan isteri dan anak-anak masih sama seperti dulu. Apa yang saya boleh katakan, saya dalam perjalanan untuk memperbaiki diri. Saya akan cuba menempuhi masalah di depan dengan penuh reda dan persiapan. 

“Walaupun dalam keadaan tidak begitu baik, tetapi saya tetap cuba berdoa untuk mendapatkan kebaikan. Saya masih lagi dalam proses untuk berjumpa dengan isteri. 

“Kali terakhir jumpa anak tahun lalu, sudah lama tak jumpa. Bukan tak boleh jumpa, tak ada masalah dan juga halangan. Tapi, ketika ini saya perlu berjalan seorang diri untuk mendapatkan apa yang dicari. 

“Saya dan anak-anak memang selalu berhubung menerusi panggilan telefon, cuma kalau berjumpa, tahun ini masih belum,” katanya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga pasangan itu kembali menjadi perhatian berikutan Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober tahun lalu selepas lebih setahun rujuk.

Bagaimanapun, Farid dilapor mahu mempertahankan rumah tangga dengan alasan masih menyayangi Diana dan anak-anaknya yang kemudiannya memanjangkan kes perceraian mereka melalui porsiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top