am@hmetro.com.my
Setia Alam: Selepas lebih dua dekad dalam bidang perfileman tanah air, pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil kini menyambung pengajian peringkat sarjana (Master) dalam jurusan Pengajian Peperangan Media dan Maklumat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 44 berkata, dia juga menerima tawaran dari beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetapi memutuskan untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di UiTM.
Kata pemegang Diploma Seni Lakon dan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Layar dari UiTM itu, dia percaya sampai masanya dia meningkatkan lagi ilmu pengetahuan sedia ada.
“Alhamdulillah, ini kesinambungan jambatan ilmu yang saya mahu lakukan sejak dulu. Saya sambung belajar atas dorongan hati dan diri sendiri.
“Walaupun sibuk dengan karier lakonan, bisnes motosikal elektrik, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana berjaya membahagikan masa untuk sambung belajar di UiTM secara sepenuh masa,” katanya kepada Harian Metro.
Farid ditemui pada sesi temubual di kedai motosikal elektrik, NeoFK Motorsport, di Setia Alam di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut jurusan dipilih berbeza dari fakulti filem pula, pelakon filem Lagenda Budak Setan itu berpendapat ilmu yang dipelajari sebelum ini sudah tamat tempoh.
“Saya sudah menggunakan ilmu dipelajari di universiti sepanjang lebih 20 tahun dalam bidang perfileman tanah air.
“Takkan saya nak sambung belajar dalam jutusan filem lagi sebab saya sudah berlakon dalam lebih 80 filem sebelum ini.
“Maksudnya, ilmu yang dipelajari itu sudah tidak sesuai dengan situasi terkini sekarang. Contohnya, kalau orang bagi watak, apa lagi yang saya boleh buat. Kita harus ‘up to date’ dalam ilmu pembikinan filem dan sebagainya mengikut situasi terkini sekarang,” katanya.
Berkongsi mengenai jurusan Pengajian Peperangan Media dan Maklumat itu pula, kata Farid, dia memilih jurusan sarjana selama setahun setengah itu kerana ia akan membolehkannya untuk menjadi pembuat polisi pada masa hadapan.
“Saya akui minggu pertama dan kedua dalam kelas, saya macam tidak pernah dengar apa yang dipelajari kerana ia dunia baru. Contohnya, kita bercakap dan berbincang dalam kelas mengenai kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia dan sebagainya lagi,” katanya.
Ditanya perancangan untuk menjadi pensyarah pula, kata Farid, belum sampai masanya untuk dia menjadi tenaga pengajar ketika ini.
“Saya akui pernah terima tawaran untuk menjadi pensyarah sebelum ini tetapi belum sampai masanya untuk saya berkhidmat sebagai di mana-mana IPTA di luar sana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




