Farida Pasha Meninggal Dunia akibat Covid-19

Jakarta: Aktres veteran terkenal Indonesia yang popular menerusi watak Mak Lampir, Farida Pasha dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat jangkitan wabak Covid-19. Khabar sedih itu telah dikongsikan cucunya, Ify Alyssa semalam tentang kematian neneknya akibat wabak maut tersebut.

“Assalamualaikum. Telah kembali ke Rahmatullah ibunda atau nenek kami, Hajjah Farida Pasha binti Ali Husen pada 16 Januari 2021 pada pukul 7.35 malam (waktu tempatan),” ujarnya ringkas menerusi Instagram.

Pada masa sama, Ify turut memohon semua pihak untuk memaafkan neneknya jika pelakon tersebut pernah melakukan kesilapan dengan sesiapa pun. “Tolong doakan semoga roh nenek dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Terdahulu, Farida dilahirkan di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia pada 21 Ogos 1952. Aktres itu terkenal kerana sering membintang filem bergenre seram dan sangat sinonim dengan watak seorang nenek kebayan bernama Mak Lampir menerusi sinetron bersiri, Misteri Gunung Merapi yang ditayangkan selama tujuh tahun.

Kali terakhir Farida yang telah membintangi lebih daripada 30 buah filem itu muncul di layar perak adalah menerusi filem The Secret: Suster Ngesot Urban Legend pada tahun 2018.

Malay News
Glamour Desk