Farmasi pandu lalu dilancarkan di Miri

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Miri: Selepas Sibu dan Kuching, Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu (FPL) turut dilancarkan di Hospital Miri hasil daripada sumbangan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, FPL yang menelan belanja RM150,000 itu dibina atas keprihatinan komuniti.

“Kita berterima kasih kepada komuniti dan NGO yang bekerjasama dengan Hospital Miri dalam merealisasikan FPL sekali gus menjimatkan masa pesakit,” katanya semasa merasmikan FPL Hospital Miri semalam.

Ting yang juga ADUN Piasau menambah, FPL juga dapat mengurangkan masalah kesesakan terutama tempat meletak kenderaan di hospital itu.

“Di samping itu, perkhidmatan ini memudahkan urusan mengambil ubat terutama kepada pesakit yang tidak dapat datang menerima ubat secara bulanan,” jelasnya.

Ting menceritakan sebelum ini pesakit terpaksa datang seawal jam 4 pagi semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran awal.

“Sebelum ini ada pesakit mengambil ubat di Klinik Kesihatan Miri seawal jam 4 pagi untuk memastikan mereka dapat nombor giliran awal sebelum pintu utama dibuka,” katanya.

Malah katanya, ada pesakit datang sejauh Bakong, Bekenu dan sekitarnya untuk mengambil ubat dan datang lebih awal ke Klinik Kesihatan Miri.

“Saya percaya melalui perkhidmatan ini, pesakit akan mendapat ubat mereka dengan lebih cepat dan pada masa yang sama mengurangkan masalah kesesakan,” jelasnya.

Ting turut berterima kasih dengan NGO seperti Rotary Club of Oil Town, Green Summit serta yang lain kerana membantu menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong serta tetamu lain. – UtusanBorneo