'Fasa anak-anak membesar hanya sekali'

'Fasa anak-anak membesar hanya sekali'

surayaroslan@mediaprima.com.my

KEJAYAAN seorang wanita tidak selalu diukur melalui jawatan atau angka dalam akaun bank.

Bagi Amera Sabrena Ahmad Sobri, 37, kejayaan sebenar terletak pada keseimbangan hidup iaitu antara kerjaya, keluarga dan ketenangan emosi anak-anak.

Sebagai konsultan, isteri dan ibu kepada dua anak serta penuntut Ijazah Corporate Leadership di Universiti Koperasi dan Keusahawanan Malaysia, Amera Sabrena mengakui perjalanannya penuh cabaran yang jarang diceritakan.

“Sebagai wanita bekerjaya, ibu dan isteri, ada masa fizikal dan emosi saya terlalu penat. Kerja perlukan komitmen penuh, anak-anak perlukan perhatian dan saya tidak mahu sesiapa terasa terabai,” katanya.

Namun, keikhlasan dan kasih sayang seorang ibu menjadikan semua keletihan itu diserahkan sepenuhnya dalam tawakal dan reda kepada Allah SWT.

Amera Sabrena tidak pernah menafikan bahawa segala usaha dan pengorbanannya berpaksikan dua anaknya, Naura Medina, 13, dan Deana Khyrena, 7.

“Anak-anak adalah sumber kekuatan terbesar saya. Mereka menjadi nadi kepada setiap perjuangan saya mencari rezeki.

“Saya sentiasa sematkan niat saya bahawa segala usaha, penat dan lelah semalam dan seterusnya, adalah asas kepada masa depan mereka.

“Saya mahu mereka membesar melihat teladan dalam satu versi terbaik seorang ibu untuk dicontohi oleh anak-anak.

“Bukan hanya pada nasihat dan kata-kata, tetapi sebagai satu bentuk cerminan dan meneladani sikap saya sebagai seorang yang sentiasa berusaha sedaya upaya, membimbing karektor positif dan sentiasa berpegang pada nilai adab, akhlak selain ilmu yang memberi kebaikan kepada orang di sekeliling,” katanya.

Akuinya, kejayaan akademik bukan keutamaan mutlak, tetapi, pembentukan emosi, adab, akhlak dan persekitaran membesar yang bahagia jauh lebih penting berbanding keselesaan material.

Mengimbangi kerjaya, keluarga dan diri sendiri bukan soal menjadi sempurna, sebaliknya menetapkan keutamaan.

Amera Sabrena percaya menjaga diri bukan satu keegoan, tetapi tanggungjawab emosi bagi wanita berkeluarga.

Namun, definisi kebahagiaan peribadinya cukup sederhana iaitu masa bersama anak-anak.

Malah, hampir setiap minggu, walaupun bekerja di luar kawasan, Amera Sabrena memastikan anak-anak turut serta dalam ‘staycation’ bersama.

Bagi Amera Sabrena, percutian bukan simbol kemewahan, sebaliknya ruang menyambung hubungan kekeluargaan.

Bersama suaminya yang juga arkitek, Hairul Nizam Baharuddin, segala urusan anak-anak diurus sendiri tanpa pembantu rumah atau pemandu peribadi.

“Jika saya perlu ‘outstation’, suami uruskan sepenuhnya anak-anak. Bila ada masa, walaupun saat akhir dan kos tinggi, kami tetap bawa anak-anak bercuti,” katanya.

Percutian, sama ada domestik atau ke luar negara, menjadi pelaburan emosi jangka panjang yang membentuk kenangan, keyakinan dan perspektif anak-anak terhadap dunia.

Tidak hairanlah, kini anak-anaknya lebih menghargai pengalaman berbanding barangan.

Katanya, 10 negara sudah dilawati bersama anak-anak dan suami. Ia adalah kenangan paling berharga dalam hidup dan ‘tradisi’ percutian itu akan diteruskan sehingga anak-anak dewasa.

“Saya sentiasa percaya bahawa setiap pengalaman yang dicipta bersama keluarga adalah hadiah paling berharga yang akan kekal dalam ingatan anak-anak sepanjang hayat,” katanya.

Katanya, sebahagian fasa tumbesaran anak-anaknya dilalui bersama ibu bapa yang sering bekerja di luar kawasan.

Dari Tanah Suci Makkah, Melaka hingga Kuala Lumpur, perjalanan hidup mereka penuh mobiliti.

Selepas berkahwin, Amera Sabrena pernah berhijrah ke Tanah Suci Makkah untuk mengikut suami yang bertugas sebagai Pengurus Tapak Projek di Masjidil Haram, sebelum kembali ke Melaka pada 2020 dan membuka syarikat sendiri.

Pengalaman itu menjadi titik perubahan buat Amera Sabrena supaya tidak meletakkan komitmen kerja melebihi peranannya sebagai ibu.

“Fasa anak-anak membesar hanya sekali. Mereka perlukan kehadiran, bukan sekadar memenuhi keinginan material,” katanya.

Amera Sabrena mengakui pernah berada di titik rendah ketika bergelar suri rumah sepenuh masa, berdepan pandangan sinis dan penilaian orang sekeliling.

Namun, keberaniannya keluar daripada ‘kepompong’ mengubah kehidupannya secara menyeluruh.

Rezeki yang hadir hari ini disyukuri, bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk membalas jasa ibu bapa dan berkongsi dengan keluarga serta rakan-rakan.

Memandu hampir setiap hari dari Melaka ke Kuala Lumpur bagi urusan kerja dan pengajian memerlukan kekuatan fizikal serta mental.

Namun, panggilan telefon, pelukan dan doa anak-anak menjadi sumber tenaga paling besar buat wanita kental itu.

“Apabila anak-anak mula mendoakan saya, di situ saya tahu setiap rezeki yang Allah kurniakan datang bersama doa mereka,” katanya.

Akuinya, kejayaan sebenar bukan terletak pada pangkat, kekayaan atau kemewahan.

“Kaya sebenar ialah apabila emosi anak-anak terjaga dan mereka membesar dengan bahagia,” katanya.

Sebagai pesanan buat wanita lain yang sedang berjuang dalam senyap, Amera Sabrena menegaskan, setiap wanita itu berharga walaupun usaha mereka tidak selalu dihargai.

“Teruskan melangkah walaupun perlahan, kerana setiap langkah itu adalah bukti kekuatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top