Pernah menguruskan perniagaan salun kecantikan yang popular dalam kalangan peminat, aktres terkenal Fasha Sandha kini kembali mengorak langkah dalam dunia keusahawanan bersama suaminya, pelakon Aidil Aziz.
Fasha yang pernah mengendalikan salunnya sendiri, Chinta Salon selama lapan tahun berkata, meskipun perniagaan itu terpaksa ditamatkan kerana faktor luar jangka apabila pemilik premis mahu menggunakan bangunan itu untuk tujuan lain, dia tidak pernah melupakan impiannya untuk kembali berniaga.
“Bisnes salun saya ketika itu berjalan sangat baik, namun terpaksa ditutup kerana pemilik bangunan ingin beri ruang kepada anaknya membuka farmasi. Saya agak terluka kerana itu perniagaan yang saya urus dengan penuh kasih sayang. Tapi saya reda dan anggap mungkin ada hikmah,” katanya.
Tambah Fasha, beberapa bulan selepas penutupan salunnya, pandemik COVID-19 melanda dunia dan itu menguatkan keyakinannya bahawa keputusan tersebut adalah sebahagian daripada perlindungan Tuhan.
“Nak dijadikan cerita, selepas beberapa bulan ditutup, COVID-19 melanda dunia, seolah-olah Allah melindungi saya. Selepas itu, saya tak fokus kepada bisnes tetapi saya ada terfikir, Insya-Allah jika ada rezeki saya mahu buka bisnes saya semula.
“Jadi, sekarang datang rezeki untuk membuka bisnes kopi ini. Insya-Allah di masa akan datang, saya akan kembali membuka salun,” katanya.
Pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2017 itu tampil sebagai pemilik bersama cawangan ke-208 jenama minuman terkenal, Kopi Saigon, bersama suaminya, pelakon Aidil Aziz yang dilancarkan secara rasmi di pusat beli-belah MyTOWN Cheras yang juga ‘signature outlet’ pertama jenama itu di lokasi berprestij seperti pusat beli-belah.
“Saya memang pelanggan tegar jenama ini sejak 2021. Saya suka rasa kopinya yang tak memualkan dan tak buat saya sakit kepala seperti sesetengah kopi lain. Dalam apa-apa majlis pun, saya akan tempah jenama ini. Sampai orang kenal saya dengan jenama ni.
“Apabila ditawarkan oleh pengasasnya, Asyraf Kamal, untuk buka outlet sendiri, saya dan suami terus setuju. Kami kira kos dan melabur untuk memulakan perniagaan ini. Bila ada tawaran lokasi strategik di MyTOWN, kami terus ambil tanpa berfikir panjang,” jelas Fasha.
Aidil pula berkongsi bahawa keyakinannya terhadap jenama ini hadir selepas merasai sendiri produk mereka.
“Saya kagum sebab minuman mereka boleh tarik semua peringkat umur. Selain itu, pengasasnya juga sangat kreatif dan tahu apa pasaran mahukan. Itu yang buat kami berani buat pelaburan ini.
“Selain produk yang baik, Asyraf dan isteri sangat kreatif. Sebab itu kami bersetuju. Bukan sekadar produk, tapi mereka juga memberi impak positif kepada kami serta mendorong kami untuk membuka bisnes ini” ujar Aidil lagi.