Fasih berbahasa Mandarin membuatkan Thinaah serasi dengan Pearly

Fasih berbahasa Mandarin membuatkan Thinaah serasi dengan Pearly

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di Sukan Olimpik Paris 2024 sudah lama berakhir di mana mereka terlepas peluang untuk merangkul gansa dalam saingan penentuan ketika berdepan wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Bagaimanapun, kehebatan dan persembahan mereka sehingga berjaya melepasi kumpulan maut dan mara sehingga ke separuh akhir masih menjadi bualan peminat badminton negara di media sosial.

Dalam masa yang sama banyak video atau petikan pendek mengenai perbualan antara kedua-dua pemain baik yang terbaharu mahu pun yang lama kerap terpapar di setiap platform media sosial.

Turut menarik perhatian ialah kehebatan Thinaah yang mampu menuturkan empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan paling menarik Mandarin.

Thinaah tenang dan fasih menutur bahasa Mandarin ketika ditemuramah wartawan ketika di Paris 2024, sekali gus mengiyakan teori bahawa ia sedikit sebanyak memberi kelebihan buat kedua-dua pasangan baik ketika berlatih mahupun beraksi.

Situasi interval break menyaksikan jurulatih, Hoon Thien How, memberi arahan dan membincangkan perancangan dalam bahasa Mandarin ketika di Paris 2024.

Thinaah, mempelajari bahasa Mandarin selepas berinteraksi dengan rakan-rakannya semasa di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Dia sebelum ini mengakui tidak sukar untuk menguasainya kerana mendengar frasa yang sama berulang kali dan itulah caranya mempelajari Bahasa Mandarin dalam masa hanya dua tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top