Pelakon Fattah Amin menyifatkan pertemuan bersama isterinya, Amira Othman dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil adalah peluang bermakna untuk memperkasakan Kempen Internet Selamat.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fattah berkata pertemuan terbabit bukan sekadar mewakili mereka, tetapi sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama industri hiburan tanah air.
BACA: “Fattah Bersifat Melindungi, Boleh Tengok Cara Dia Dengan Ibu, Keluarga”
“Pertemuan ini amat bermakna buat saya dan isteri. Ia bukan sekadar mewakili kami berdua, tetapi juga sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama dengan industri hiburan tanah air, anak-anak seni tempatan serta rakan-rakan pempengaruh di media sosial.
“Sebagai individu yang berdepan realiti dunia media sosial, saya percaya sudah tiba masanya kita semua memainkan peranan untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati.
“Saya dengan rendah hati mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan insya-Allah akan berusaha menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat serta generasi akan datang,” tulisnya.
Sementara itu, Fattah turut menyeru orang ramai untuk menggunakan internet dengan selamat serta menghentikan buli siber.




