syafil.syazwan@hmetro.com.my
SYAWAL kali ini pastinya dirasai berbeza buat pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman. Mana tidaknya, tahun ini, kali pertama mereka meraikan Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri.
Jika tahun sebelumnya fokus hanya kepada keluarga sendiri, kali ini tanggungjawab sebagai menantu menjadi tugas baharu dalam diari Aidilfitri mereka.
Bagi Fattah, status sebagai suami mengubah persepsi sambutan hari kemenangan ini daripada seorang tetamu kepada sebahagian daripada keluarga besar Amira.
Membuka bicara mengenai perancangan ‘tradisi’ perebutan lokasi raya, Fattah menjelaskan bahawa segalanya disusun rapi tanpa sebarang drama.
Mengikut persetujuan bersama, Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama mereka memandangkan tahun ini giliran keluarga Fattah.
“Kelainannya ialah tahun ini kami akan ke Johor Bahru bersama. Tahun lalu saya ke sana sebagai tetamu, tetapi tahun ini berbeza kerana saya sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Amira.
“Namun, kami akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu kerana tahun ini giliran Amira beraya bersama keluarga saya dan tahun ini juga, giliran anak saya, Nur Fatima Aisya untuk beraya bersama kami untuk beberapa hari.
“Kami akan menyambut hari pertama di ibu kota bersama ibu bapa serta keluarga terdekat saya. Selepas itu, mungkin pada hari raya keempat atau kelima baru kami akan memulakan perjalanan pulang ke selatan tanah air,” katanya.
Sambil berkongsi cerita persiapan, Fattah sempat mengimbau kenangan lucu yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar kanak-kanak. Siapa sangka, pelakon yang sering tampil kemas ini mempunyai sejarah ‘hitam’ yang mencuit hati di pagi raya.
“Memori paling tidak dapat dilupakan ialah ketika sekolah rendah. Waktu itu kita beraya semata-mata mahu kumpul duit raya. Saya terlalu teruja mahu mengira hasil kutipan sehingga tidak perasan jalan di depan. Akhirnya, saya terjatuh dalam parit di kampung datuk saya!
“Sampai sekarang, setiap kali pulang ke kampung dan melihat parit itu, saya pasti teringat kejadian itu. Ia kenangan paling mahal yang sering menjadi bahan usikan sepupu saya setiap kali kami berkumpul,” katanya.
Bercakap mengenai juadah, Fattah mengakui kemeriahan hidangan di Johor Bahru. Ibu mentuanya sering menyediakan masakan yang luar biasa setiap kali dia pulang ke sana.
“Antara kegemaran saya ialah sambal udang. Kalau saya balik sana, lauk-pauk lengkap tersedia. Saya jangkakan juadahnya lebih meriah.
“Selain makan, saya juga menziarahi saudara-mara Amira yang jauh untuk mengenali mereka dengan lebih rapat,” katanya.
Bagi persiapan di rumah sendiri pula, Fattah tetap setia dengan biskut raya klasik. Baginya, tanpa almond London dan tart nanas, sambutan hari raya dirasakan tidak lengkap.
Bagi Amira pula, Aidilfitri ini adalah fasa pembelajaran buatnya. Menjadi isteri pelakon popular seperti Fattah menuntutnya untuk lebih peka dalam menyantuni keluarga mentua.
“Sudah tentu ini pengalaman pertama saya. Orang kata, sekarang saya memikul tanggungjawab sebagai isteri dan menantu. Jadi, saya sangat menantikan pengalaman beraya bersama keluarga suami.
“Selama ini saya lebih banyak beraya bersama keluarga sendiri, jadi perasaan itu agak unik kali ini,” katanya.
Menyentuh soal mengalah dalam isu giliran raya, penyanyi lagu Bincang Raya ini menegaskan bahawa suaminya seorang yang sangat fleksibel dan bertolak ansur.
“Tidak ada istilah mengalah. Hubungan kami sangat fleksibel. Segala perkara kami bincangkan bersama dan tidak pernah berlaku perbalahan.
“Fattah mudah, saya juga mudah. Kami mencari jalan tengah yang terbaik untuk kedua-dua pihak supaya tiada hati yang terguris,” katanya.
Pasangan ini juga merancang mengadakan majlis rumah terbuka di Kuala Lumpur bagi meraikan rakan-rakan dan peminat.
Namun, tarikhnya diumumkan kemudian memandangkan jadual mereka yang agak padat di Johor Bahru nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




