Fattah simpati dengan Fazura, berdoa semuanya dipermudahkan

Fattah simpati dengan Fazura, berdoa semuanya dipermudahkan

najiy.jefri@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Pelakon, Fattah Amin bersimpati dengan situasi dialami bekas isterinya, Nur Fazura menerusi syarikatnya yang berhutang lebih RM4 juta dengan sebuah kilang pengeluar tudung.

Fattah juga berdoa agar segala urusan Fazura dipermudahkan.

“Saya sebenarnya tidak berani untuk memberi komen kerana isu ini agak peribadi. Kita yang mendengar hanya mampu bersimpati dan mendoakan yang baik-baik saja.

“Lagipun, kita tidak tahu bila giliran kita pula akan diuji. Jadi, lebih baik jangan buat andaian tanpa mengetahui cerita sebenar. Fazura ialah ibu kepada anak saya, jadi sudah tentu saya berharap segalanya dipermudahkan untuknya,” katanya.

Menurut Fattah, dia sendiri tidak mengetahui mengenai isu itu sehinggalah ia tular dan dilaporkan oleh media tempatan.

“Saya hanya tahu selepas berita itu keluar. Sebelum itu, saya memang tidak tahu langsung,” katanya ketika ditemui pada acara Pesta Unifi TV Lagi Best sempena ulang tahun ke-12 Unifi TV yang berlangsung di Centre Court, The Curve, Mutiara Damansara, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Fazura didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta dengan syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd.

Difahamkan, syarikat terbabit sudah memfailkan tuntutan mengikut lunas undang-undang selepas syarikat milik Fazura iaitu Pink Fate Sdn Bhd enggan memberikan kerjasama.

Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama dibekalkan tudung dengan nilai RM7.3 juta sejak Jun 2022.

Namun, Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah itu sekali gus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023.

Sehingga kini, Fazura belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top