Fattah tak mahu lepaskan Fazura

Fattah tak mahu lepaskan Fazura

najiy.jefri@hmetro.com.my 

 

Shah Alam: Pelakon, Fattah Amin tidak bersetuju untuk melepaskan isterinya, Nur Fazura ketika sebutan kes permohonan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.

Ia dimaklumkan peguam syarie mewakili Fattah, Zulkifli Che Yong kepada media di perkarangan mahkamah.

Zulkifli berkata, anak guamnya juga dinasihatkan untuk tidak menyatakan sebarang fakta kes kerana bimbang akan memprejudiskan kes yang sedang berlangsung ketika ini.

“Ini adalah prosiding di mahkamah, jadi tidak wajar anak guam saya khususnya menyatakan apa fakta di sebaliknya kerana ini akan memprejudiskan kes. 

“Cuma setakat ini pihak defendan, iaitu Fattah belum bersedia atau belum bersetuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya. Ini kerana, pihak-pihak dalam kes ini sedang cuba untuk memuktamadkan terma-terma bagi menyelesaikan isu. 

“Adalah perlu untuk pihak-pihak menyelesaikan terma-terma berkenaan sekiranya mahu menyelesaikan perkara ini secara baik agar tidak dipanjangkan lagi apa-apa perkara yang belum selesai,” katanya.

Menurut Zulkifli, dia berharap perbicaraan yang ditangguhkan ke 7 Oktober ini dapat menemui penyelesaian terbaik .

“Saya berdoa agar kedua belah pihak dapat menyelesaikan secara baik dan terma persetujuan dapat dimuktamadkan. 

“Sekiranya mencapai persetujuan, pihak defendan (Fattah) akan menyatakan pendirian pada tarikh akan datang iaitu 7 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Fattah menegaskan, dia masih berpegang dengan kenyataan dikeluarkan sebelum ini bahawa dia masih menyayangi Fazura.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top