najiy.jefri@hmetro.com.my
Genting Highlands: Penyanyi terkenal, Fauziah Latiff mengakui hatinya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran lelaki baharu selepas dua kali melalui episod kegagalan dalam rumah tangga.
Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 55, berkata, tumpuan utama dalam hidupnya kini adalah untuk menjaga ibunya yang sudah lanjut usia.
“Alhamdulillah, saya selesa dengan kehidupan sekarang. Jika diri sendiri belum terjaga, bagaimana pula mahu jaga orang lain?
“Buat masa ini, saya bahagia dan bersyukur dapat menjaga mak. Itu tanggungjawab saya sebagai anak kerana mak adalah nadi kehidupan saya.
“Sekarang adalah masa untuk saya membalas jasanya. Soal lain, saya ketepikan dahulu kerana belum tiba waktunya,” katanya ketika ditemui usai menjayakan Konsert JessC X Fauziah Latiff di Arena of Stars, di sini, malam tadi.
Menurut Fauziah, dia kini lebih gemar melakukan perkara yang memberi ketenangan serta memperbaiki diri.
“Saya sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki termasuk mengenali diri sendiri dan persekitaran. Lagipun sekarang sudah akhir zaman.
“Segala yang boleh memberikan ketenangan jiwa akan saya utamakan. Seperti sekarang, menjaga ibu memberi makna besar buat saya. Dia adalah segalanya dan menjadi penyelamat dalam hidup saya,” katanya.
Fauziah juga melihat fasa kehidupannya kini sebagai peluang untuk lebih menghargai diri sendiri dan berharap agar orang ramai terus menitipkan doa yang baik untuknya.
“Kita tak tahu sampai bila umur kita. Jadi, setiap hari adalah peringatan untuk lebih menghargai hidup dan diri sendiri.
“Saya juga minta orang luar doakan yang baik-baik kerana macam-macam boleh berlaku. Anak muda sekarang pun ramai berdepan pelbagai isu kerana tidak mampu menyesuaikan diri dengan realiti semasa.
“Kekuatan psikologi sangat penting. Kita semua pernah buat silap, tapi dari situlah kita belajar dan tahu apa yang perlu dielakkan,” katanya.
Untuk rekod, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada tahun 1992 namun bercerai selepas tiga tahun.
Lima tahun kemudian, dia bernikah kali kedua dengan ahli perniagaan Johan Indot di London, namun rumah tangga itu juga berakhir dengan perceraian pada 2007.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Jeffri Joaquim, 26, dan Jeremy Jay, 24.
Dalam pada itu, kemunculan Fauziah dalam Konsert JessC X Fauziah Latiff disambut meriah dengan sorakan peminat.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Dia dan Sekilas Senyumanmu, memperlihatkan kelunakan suaranya yang masih memukau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




