Fazley Yaakob mohon beri ruang pada duda

Fazley Yaakob mohon beri ruang pada duda

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob meminta agar suami-suami yang masih berkahwin supaya tidak memberikan nasihat kepada duda-duda mengenai cara menjaga isteri.

Dalam hantaran di Instagram, Fazley menegaskan bahawa setiap perceraian adalah berdasarkan keputusan yang dibuat semasak-masaknya.

“Kepada suami-suami yang masih berkahwin. Tidak perlu memberi nasihat kepada duda-duda lain mengenai cara menjaga isteri. Nasihat saya, jagalah isteri sendiri.

“Tidak perlu menjadi Pak Maon untuk menyuruh orang lain menguatkan agama, dah macam ustaz skibidi bombom.

“Dan tidak perlu menjadi penceramah motivasi yang memberikan 88 tip kebahagiaan rumah tangga.

“Setiap perceraian pasti sudah difikir masak-masak sehingga keputusan dibuat dengan teliti,” tulisnya.

Tambah Fazley yang baru-baru ini mengumumkan sudah bercerai itu lagi, berikan ruang kepada mereka sudah bergelar duda.

“Sudah menjadi suratan atau kebetulan ramai pula yang bercerai tahun ini. Berikan sedikit ruang kepada duda-dua juga, ya,” tulisnya.

Terdahulu, Fazley mengumumkan mengenai perceraian dengan bekas isteri, Azrene Ahmad menerusi hantaran di media sosialnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top