syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob menyifatkan penutup tirai tahun 2025 sebagai memori paling indah apabila tiga anak bujangnya membuat kejutan dengan mengadakan persembahan secara spontan di Port Dickson Waterfront, Port Dickson, semalam.
Menerusi hantaran di Instagram, Fazley, 47, berkata dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa meskipun menyedari gelagat pelik anak-anaknya iaitu Ahmad Fariedz, Ahmad Fieradz dan Ahmad Fierudz yang asyik berbisik sesama sendiri.
“Saya perasan mereka bertiga sibuk berbisik-bisik di tempat letak kereta, namun saya tidak pasti apa yang dibincangkan.
“Rupa-rupanya, dalam diam anak-anak saya menyimpan hasrat untuk membuat persembahan (busking) bersama pemuzik jalanan di situ, walaupun mereka tidak pernah berlatih bersama sebelum ini,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Asmara Ini itu, meskipun setiap anaknya mempunyai asas dalam bidang muzik, namun tampil sebagai sebuah kumpulan di khalayak ramai adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku.
Mengulas lanjut mengenai persembahan itu, Fazley mengakui dia adalah individu yang paling cemas apabila melihat kawasan persembahan mula dibanjiri orang ramai yang ingin menyaksikan aksi anak-anaknya.
“Saya yang paling gementar malam itu. Daripada tapak persembahan yang pada awalnya kosong, tiba-tiba dipenuhi penonton.
“Terima kasih kepada orang-orang Port Dickson kerana sudi menyokong anak-anak saya yang ingin membuat kejutan untuk ‘Dida’ mereka. Saya benar-benar terharu,” katanya.
Pada malam itu, tiga beradik itu mempersembahkan lagu popular daripada Coldplay berjudul Yellow sebelum menambah satu lagi lagu iaitu Pujaanku nyanyian asal kumpulan Masdo dan Aisyah Aziz atas permintaan ramai.
Dalam hantaran yang sama, Fazley turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan pemuzik jalanan di lokasi itu yang bermurah hati meminjamkan peralatan muzik buat anak-anaknya.
Fazley turut menitipkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 buat semua peminat dan menyifatkan persembahan anak-anaknya sebagai kenangan terindah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




