am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak pengurusan bertanggungjawab terhadap keselamatan Fazura mahupun mana-mana artis di bawah jagaannya.
Pengurus Fazura, Iman Tang berkata, menyediakan atau mengizinkan artis memakai khidmat pengawal peribadi juga bukan untuk bermegah atau ‘konten’.
“Sebenarnya memang sudah menjadi kebiasaan Fazura untuk ada pengawal keselamatan ketika hadir ke sesebuah majlis.
“Saya juga bersetuju Fazura ditemani lima pengawal peribadi ketika hadir ke mahkamah kerana pernah ada insiden ada orang yang kurang sopan menariknya dan ada yang bila bergambar dengannya cuba ambil kesempatan,” katanya kepada Harian Metro.
Iman ditemui pada sidang media konsert Govinda (Hal Hebat) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota di sini, hari ini.
Mengenai pengawal peribadi lagi, kata Iman, jika hanya ada satu atau dua pengawal mungkin tak terjaga ‘crowd’.
“Kami tidak tahu keadaan di mahkamah ketika itu macam mana, jadi saya okay dia ditemani lima pengawal.
“Cuma saya berpesan kepada semua pengawal peribadinya itu jangan kasari teman-teman media kerana semua yang datang itu bekerja,” katanya.
Mengenai isu itu kecoh di media sosial, kata Iman, dia juga tidak boleh menyenangkan hati semua pihak apabila Fazura hadir dengan lima pengawal peribadinya ke mahkamah.
“Pada saya tak sepatutnya perkara itu dikecohkan dan ada masa kita tak boleh mengambil atau menggembirakan hati semua orang.
“Kalau tak pakai (pengawal) insiden berlaku orang akan tanya kenapa tak ada?
“Bila pakai kita pula dipersalahkan kenapa tak jaga (keselamatan) artis. Jadi macam saya kata memang tak boleh nak sedapkan hati semua orang,” katanya.
Pada masa sama, kata Iman, dia mengakui Fazura memiliki dua pengawal peribadi yang dibayar oleh pengurusan namun tidak gemar menggunakannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


