Fazura Jawab Dakwaan Hutang Milik Syarikat Berjumlah RM4.65 Juta – “Perniagaan Saya Bukan Kecil…”

Fazura Jawab Dakwaan Hutang Milik Syarikat Berjumlah RM4.65 Juta – “Perniagaan Saya Bukan Kecil…”

“Biasalah cabaran-cabaran yang dilalui sebagai seorang usahawan. Perniagaan saya bukannya kecil”.

Demikian respons penyanyi, pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura berhubung isu saman membabitkan syarikat miliknya, Pink Fate Sdn Bhd.

Tegas Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, dalam hal ini terdapat dua entiti berbeza iaitu, dirinya dan syarikat.

Justeru, dia enggan mengulas secara terperinci mengenai isu yang timbul kerana urusan perniagaan ini bersifat sulit dan masih dalam pemerhatian peguam.

“Sebenarnya tak ada apa yang boleh saya jelaskan, sebab kita kena faham ia adalah dua entiti yang berbeza. Fazura dan juga syarikat.

“Saya tak boleh komen banyak tentang syarikat dan keputusan dalam syarikat. Jadi harapnya orang boleh faham bahawa Fazura berbeza dengan syarikat,” katanya.

Fazura berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan muzik video terbaharunya berjudul, Luar Biasa yang diadakan di The Aurum TRX, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fazura juga mengaku sebagai usahawan, berdepan cabaran adalah satu perkara normal termasuklah melibatkan isu-isu seperti yang tular.

“Biasalah cabaran-cabaran yang dilalui sebagai seorang usahawan. Perniagaan saya bukannya kecil, saya rasa semua usahawan di luar sana faham cabaran-cabaran yang dilalui apabila mengendalikan perniagaan.

“Tapi yang syarikat lalui sekarang ini saya tak boleh nak komen, ada hutang atau tidak, saya tidak boleh kongsikan perkara itu,” jelasnya.

Terdahulu, Fazura didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta dengan syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd.

Menurut pihak Obor Holding Sdn Bhd iaitu pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn. Bhd. yang sinonim dengan Fazura telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7.3 juta sejak Jun 2022.

Bagaimanapun, pihak Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut.

Syarikat terbabit juga memaklumkan, mereka sukar untuk mengutip bayaran berkenaan sejak Disember 2023.

Scroll to Top