norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura, 43, mengambil pendekatan segera memaafkan pelawak juga anggota Senario, Lan Pet Pet berikutan permohinan maaf secara terbuka dilakukan lelaki itu kepadanya.
Enggan memanjangkan isu yang muncul susulan keterlanjuran kata-kata Lan ketika sesi siaran langsung di TikTok, Fazura terlihat bertindak matang dan tenang dengan pantas menyatakan maaf diterima.
Menerusi hantaran dikongsikan di Threads miliknya, pelakon filem Bicara Hati itu didapati menerima baik permohonan maaf secara terbuka daripada Lan yang dimuatnaik di Instagram (IG) pelawak itu, petang tadi.
“Assalamualaikum, susulan permohonan maaf secara terbuka saudara Lan, Faz memilih untuk segera memaafkan sepertimana segera pula saudara Lan memohon maaf atas kekhilafan anda.
“Ini kerana walaupun hati pernah terguris.. keinginan mencapai redha Allah SWT adalah lebih utama. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran dan juga teladan buat kita semua.. mudah-mudahan.. amin,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
Mengakui kemaafan diberikan kepada Lan Pet Pet itu seikhlasnya daripada dirinya, tindakan pantas diambil Fazura mendapat maklum balas sangat baik daripada netizen yang menyifatkan hati ibu tunggal itu sangat lembut.
Pada ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan adab dan budi pekerti Fazura yang mudah bersikap pemaaf terhadap orang lain meskipun keterlanjuran kata-kata terbabit sekadar untuk melawak.
Terdahulu, Lan Pet Pet atau nama sebenar Mazlan Ahmad memuatnaik permohonan maaf secara terbuka di media sosialnya susulan dikecam hebat oleh netizen menerusi klip video siaran langsung di TikTok yang tular.
Difahamkan pada sesi ‘live’ berkenaan, Lan didakwa oleh segelintir netizen memberi jawapan berbaur ‘double meaning’ atau lucah ketika peminat bertanya mengenai perancangan perkahwinan baharu Fazura.
Insiden yang sama sekali tidak diduga itu berlaku selepas Lan dikatakan tertarik dengan soalan berkaitan jodoh baharu untuk Fazura hingga dia menjawab sebegitu walaupun hanya sekadar mahu berlawak.
“Hampa tunggu sat.. bagi dia ‘kering’ dahulu. Baru dua tahun (bercerai), bagi masuk tiga tahun, bagi dia ketat sikit,” kata Lan dalam sesi ‘live’ terbabit.
Menerusi klip tular berkenaan, Lan didapati menghadiri sesi perjumpaan peminat bagi satu jenama pakaian terkenal.
Klip jawapan oleh Lan itu dikatakan menyebabkan timbul reaksi negatif pada kalangan netizen terhadapnya, termasuk dia menerima bermacam kecaman di Threads.
© New Straits Times Press (M) Bhd




