Federer sertai senarai bilionair Forbes

Federer sertai senarai bilionair Forbes

Paris: Legenda tenis dunia, Roger Federer, kini tersenarai sebagai bilionair apabila muncul dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes yang diumumkan baru-baru ini.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu dianggarkan memiliki kekayaan sekitar AS$1.1 bilion (RM5 bilion) hasil gabungan pendapatan daripada kejayaan dalam tenis, kontrak penajaan serta pelbagai pelaburan perniagaan.

Federer menyertai beberapa atlet elit lain yang sudah mencapai status bilionair termasuk bintang NBA, LeBron James dan legenda golf Tiger Woods.

Bekas pemain nombor satu dunia dari Switzerland itu menghabiskan 310 minggu di tangga teratas ranking dunia termasuk rekod 237 minggu berturut-turut.

Federer yang memenangi 103 gelaran perseorangan Jelajah ATP mengumumkan persaraan daripada tenis profesional pada 2022 selepas lebih dua dekad mencipta kejayaan dalam sukan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top