saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pilihan kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengetuai kemaraan beregu negara di Masters Malaysia selepas tidak berdepan masalah menewaskan wakil Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi 21-16, 21-13 pada pusingan pertama hari ini.
Sze Fei-Izzuddin hanya memerlukan masa 31 minit sekali gus bakal bertemu wakil Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh pada pusingan kedua.
“Kami hanya mahu menikmati saja perlawanan hari ini. Memang menjadi salah satu impian kami untuk menang di depan penyokong sendiri,” kata Izzuddin.
Jelas Sze Fei, meskipun mempamer aksi cemerlang hari ini, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh mereka selepas ini.
“Kami dalam keadaan terbaik, tetapi saya rasa masih ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki dan kami akan berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang perlu diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menamatkan badi kekalahan mereka di pusingan pertama selepas menewaskan pilihan kelapan dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-15, 21-18.
Hon Jian-Haikal sebelum ini tewas enam perlawanan berturut-turut seawal pusingan pertama termasuk di Terbuka Thailand minggu lalu.
Turut mara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang mengatasi gandingan Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 21-14 21-16.
Sementara itu pilihan kelima, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengatasi gandingan India, P Krishnamurthy-S Pratheek 21-15, 23-21 dalam tempoh 42 minit di pusingan pertama, hari ini.
Manakala bekas juara remaja Asia, Aaron Tai-Kang Khai Xing mara ke undian utama Masters Malaysia selepas menundukkan rakan senegara yang juga pasangan ranking ke-67 dunia, Bryan Jeremy Goonting-Fazriq Razif dengan kemenangan 21-17, 21-17 dalam tempoh 34 minit pada pusingan kelayakan, hari ini.
Meskipun mengalami demam, Aaron tetap beraksi cemerlang untuk membantu Khai Xing memastikan slot mereka dalam undian utama sekali gus bakal berdepan pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer pada pusingan pertama, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




