
Felcra ambil langkah perkenalkan SOP Perolehan Tanah dan Estet Baharu yang lebih ketat.
SHAH ALAM – Felcra menyambut baik teguran dan syor Jabatan Audit Negara berhubung dapatan pengauditan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Agensi kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akur akan penambahbaikan berterusan dalam aspek pengurusan perolehan ladang sawit dan komited terhadap sebarang usaha untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) serta garis panduan berkaitan pengurusan perolehan ladang sawit.
“Dalam aspek pengurusan perolehan ladang sawit, Felcra telah menambah baik tadbir urus dengan memastikan semua keputusan perolehan ladang sawit dibuat secara kolektif dan selaras dengan resolusi terdahulu serta perlembagaan syarikat.
“Selain itu, Felcra bersetuju dengan penetapan tempoh masa minimum antara kelulusan, pelaksanaan perjanjian untuk memberi ruang kepada penilaian risiko dan semakan sewajarnya dapat dibuat,” katanya.
Pada masa sama, Felcra turut mengambil langkah penambahbaikan dengan pengenalan SOP Perolehan Tanah dan Estet Baharu yang lebih ketat, terperinci dan menyeluruh.
“Inisiatif ini dirangka untuk memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan prinsip integriti dan kepentingan jangka panjang organisasi.
“Felcra percaya bahawa elemen ketelusan dan terbuka dalam proses perolehan ladang sawit adalah asas kepada pemulihan keyakinan rakyat terhadap Felcra sebagai agensi pembangunan luar bandar yang berwibawa,” ujarnya.