Felix hiba kenang Jota

Felix hiba kenang Jota

Hong Kong: Joao Felix menganggap rakan sepasukan dan sahabat karibnya, Diogo Jota, akan “selamanya menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak” selepas bintang Liverpool itu meninggal dunia pada usia 28 tahun.

Jota maut bersama abangnya, Andre Silva, apabila kereta Lamborghini yang mereka naiki terbabas di utara Sepanyol pada 3 Julai lalu.

Hanya 11 hari sebelum kemalangan itu, penyerang Portugal berkenaan baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Rute Cardoso, ibu kepada tiga anaknya.

Liga Perdana Inggeris (EPL) turut memberi penghormatan hujung minggu lalu dengan siri penghargaan penuh emosi buat Jota.

Felix yang dilihat sebak ketika mengenang sahabat baik serta rakan sepasukan kebangsaan itu, antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di majlis pengebumian Jota dan abangnya.

“Diogo bagi saya adalah antara sahabat paling rapat dalam pasukan kebangsaan, dia sentiasa bersama dalam kumpulan kecil kami, mereka yang sering bersama.

“Saya juga mengenali keluarganya, terutama kedua ibu bapanya, sebuah keluarga yang luar biasa,” kata Felix.

Bercakap di Hong Kong bersama kelab baharunya, Al Nassr, sempena saingan Piala Super Saudi minggu ini, penyerang berusia 25 tahun itu menambah:

“Saya rasa dia akan selamanya menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak, dia akan terus hidup dalam hati mereka yang dekat dengannya.

“Selepas hari itu, setiap kali kami turun ke padang, kami akan mengingatinya dan bermain sebahagiannya untuk dia.”

Felix yang baru menyertai Al Nassr hujung bulan lalu dari Chelsea dengan nilai dilaporkan mencecah £43.7 juta (RM270 juta), kini bergandingan dengan Cristiano Ronaldo.

Bekas pemain Benfica, Atletico Madrid, Barcelona dan AC Milan itu dilaporkan akan menerima gaji tahunan sebanyak AS$10 juta (RM47 juta).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top