surayaroslan@mediaprima.com.my
Ampang: Peruncit perabot tempatan, Fella Design membuka lembaran baharu apabila bekerjasama dengan Ashley Furniture, pengeluar perabot terbesar dunia, menerusi pembukaan bersama bilik pameran baharu di Jalan Ampang Utama 1/1 di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu memberi peluang kepada pelanggan setia untuk menjadi antara yang terawal melihat galeri perabot baharu serta koleksi terkini daripada kedua-dua jenama.
Bilik pameran utama seluas 20,000 kaki persegi (kira-kira 1,858 meter persegi) menggabungkan dua dunia yang berbeza tetapi saling melengkapi. Ia sekali gus menunjukkan komitmen Fella Design terhadap kualiti tempatan, material dan keselesaan harian, bersama kepakaran reka bentuk global Ashley Furniture.
Bilik pameran di Ampang itu berfungsi sebagai ruang bersama yang membolehkan pelanggan meneroka pilihan produk terpilih daripada kedua-dua jenama di bawah satu bumbung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fella Design Sdn Bhd, Yu Kong Cing berkata, direka sebagai pengalaman runcit imersif, bilik pameran itu menampilkan kerjasama harmoni antara tukang tempatan dan reka bentuk antarabangsa.
Beliau berkata, ia sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan, keseragaman dan nilai kepada pelanggan yang ingin melengkapi kediaman mereka.
“Kami berasa bersemangat, bertenaga dan optimis terhadap masa depan. Kami akan terus mengejar matlamat untuk menjadi nama paling dipercayai dalam industri perabot dan fabrik di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Jualan Antarabangsa Asia Ashley Furniture, Jason Lee berkata, pembukaan Ashley Furniture itu mencerminkan komitmen berterusan jenama itu terhadap pasaran Malaysia, dengan menawarkan reka bentuk bertaraf global yang disesuaikan mengikut gaya hidup serta cita rasa tempatan.
“Pada 2026, kami merancang untuk membuka lima lagi Ashley HomeStore di seluruh Malaysia, dari utara hingga ke selatan negara,” katanya.
Pembukaan itu turut signifikan apabila Fella Design bakal menyambut ulang tahun ke-40 operasinya pada Mac tahun ini sebagai satu pencapaian membanggakan buat jenama tempatan.
Fella Design & Ashley Furniture HomeStore Ampang kini dibuka kepada orang ramai di B9, 2, Jalan Ampang Utama 1/1, Taman Ampang Utama, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




