mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Fendy Bakry berbangga meraikan satu dekad pembabitan dalam industri seni apabila berjaya menerbitkan teater pertamanya bergenre purbawara, Matinya Seorang Pahlawan (MSP) karya Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.
Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri, 37, berkata, projek ini adalah salah satu cara untuk mengetengahkan Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM).
“Pentas teater memang impian saya sejak lama. Dari teater jugalah saya menjadi siapa saya hari ini dan saya amat gembira apabila berpeluang menerbitkan teater pertama.
“Tak dinafikan perkara yang paling saya fikirkan ialah kritikan yang bakal diterima selepas pementasan dilakukan. Saya akui takut berdepan kritikan, terutama daripada orang lama dalam teater.
“Tapi saya terima semua itu sebagai pengalaman dan panduan untuk jadi lebih baik selepas ini. Cabaran paling besar sebenarnya datang daripada pengurusan dan persiapan teknikal.
“Orang hanya nampak hasil di pentas, tapi tak ramai sedar kerja pengurusannya sangat banyak. Ini pengalaman pertama saya, jadi saya banyak belajar, bertanya dan membuat rujukan,” katanya kepada Harian Metro.
Pelakon yang dikenali menerusi watak drama Mr Grey ini tidak menafikan bahawa projek pertamanya ini menuntut pengorbanan besar.
“Masa, tenaga dan kewangan. Semuanya banyak digunakan. Tapi saya percaya kalau kita buat sesuatu dengan ikhlas, Allah akan permudahkan. Yang paling penting, saya dapat sokongan keluarga.
“Naskhah ini bukan sekadar sebuah pementasan, tetapi karya yang membawa saya melihat hidup dengan perspektif baharu.
“MSP mengingatkan saya mengenai kehilangan, kekuatan dan perjalanan hidup yang penuh cabaran. Ia membentuk saya sebagai penerbit, artis dan manusia.” katanya.
Pementasan MSP berlangsung pada 12 hingga 14 Disember di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang Kuala Lumpur.
Pementasan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan MaTiC, selain rakan strategik seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), WARDAH, Dinda.look, Firz Hafiz, TEGAS Broadcast Multimedia, Kantin dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




