mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Semalam pun kena halau juga. Setiap hari pergi kalau bertembung dengan petugas yang jaga dia akan halau. Tapi saya buat keras, terpaksa lah kan.
“Kalau tak, kita nak cari makan kat mana. Kita pun tak dapat jawapan,” kata bekas pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 34, melahirkan kebimbangan apabila buskers tidak dibenarkan membuat persembahan di Bazar Ramadan.
Fendy yang mengadakan sesi busking di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan larangan busker tidak boleh membuat persembahan di khemah oren.
“Saya tanya pegawai itu, kalau saya tak busking kat sini, nak busking kat mana? Saya tanya dia sebab hari itu dia kata, semua khemah oren tak boleh busking
“Yang saya geram, saya pergi Bazar Ramadan Stadium Cheras, ramai pula orang berkaraoke. Boleh pula begitu. Kenapa bazar dekat rumah saya tak boleh?
“Sedangkan dah tiga tahun saya main kat situ sebelum DBKL ambil alih. Petugas jawab tak tahu apa-apa. Dia kata kalau penguatkuasa datang siap sajalah untuk barang (peralatan busking) kena sita,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia bertabah dan menyerahkan nasibnya kepada ketentuan takdir berdepan situasi ini.
“Kalau penguatkuasa datang nak sita barang, saya akurlah. Tapi setakat hari ini syukurlah belum ada apa-apa. Sebagai langkah keselamatan saya gantung permit untuk busking macam biasa.
“Pegawai itu tanya permit dapat dari mana? Sebab ini kali pertama DBKL kendalikan Bazar Ramadan, semuanya jadi kelam kabut.
“Kena ikut peraturan kita pun tak tahu apa-apa. Saya pun tak dihubungi pihak DBKL untuk menjelaskan lanjut,” katanya.
Fendy, OKU penglihatan yang juga bapa tunggal seorang anak berkata, dia bukan membantah arahan DBKL tetapi terkejut kerana sudah bertahun mencari rezeki di Bazar Ramadan dan kini dihalang pula.
“Pegawai bertugas pun tak tahu nak letak kita kat mana. Jadi saya minta tolong pihak berkenaan bagi pencerahan. Kalau tak apa lagi kerja saya nak buat? Bawa grab tak boleh, nak kerja pejabat tak boleh, malah nak cuci pinggan di kedai mamak pun tak boleh,” katanya.
Terdahulu pada Selasa lalu, Fendy memuat naik video di media sosialnya yang terkejut apabila diberitahu DBKL melarang aktiviti busking di Bazar Ramadan kendalian mereka.
Dia turut menunjukkan permit kebenaran busking yang dimohon menerusi DBKL dengan bayaran RM50 setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




