lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Fenomena El Nino diramalkan muncul sekitar Jun hingga Julai ini dan berkekalan hingga Januari tahun hadapan, menyebabkan cuaca lebih kering daripada kebiasaan.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata, ketika ini fenomena El Nino-Southern Oscillation (ENSO) masih berada pada fasa La Nina lemah namun menunjukkan tanda-tanda peralihan kepada ENSO-neutral.
Menurutnya, keadaan itu menandakan fasa La Nina yang dirasai sejak 2024 hampir berakhir sebelum beransur-ansur berubah kepada El Nino dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Ramalan Climate Prediction Center mencadangkan keadaan El Nino dengan 61 peratus kebarangkalian akan mula muncul sekitar Jun hingga Julai dan berkekalan sehingga Januari 2027.
“Buat masa ini, monsun barat daya belum bertembung dengan El Nino kerana ENSO masih berada sekitar La Nina lemah hingga ENSO-neutral.
“Bagaimanapun, potensi monsun barat daya bertembung dengan El Nino pada pertengahan atau separuh akhir musim tidak boleh diabaikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memaklumkan monsun barat daya dijangka bermula pada 14 Mei dan berterusan sehingga September ini, dengan angin mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dipetik berkata, sepanjang tempoh itu, kadar kelembapan udara yang rendah lazimnya akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
Mengulas lanjut, Chung berkata, risiko keadaan kering ekstrim dijangka rendah pada awal musim monsun barat daya, namun boleh meningkat pada pertengahan hingga penghujung musim bergantung kepada kekuatan El Nino.
Katanya, walaupun El Nino sering dikaitkan dengan cuaca panas dan kering, fenomena itu bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi keadaan cuaca ekstrem di negara ini.
“Gangguan atmosfera berjangka pendek seperti Ayunan Madden-Julian (MJO) juga boleh menyebabkan keadaan kering melampau di Malaysia.
“Justeru, orang ramai tidak boleh bersikap sambil lewa dan perlu terus mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti menggunakan air secara berhemah, memastikan pengambilan air mencukupi serta mengelakkan pembakaran terbuka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk maklumat dan nasihat terkini dikeluarkan MetMalaysia.
Dalam pada itu, Chung berkata, risiko jerebu juga dijangka meningkat sekiranya El Nino bertembung dengan monsun barat daya kerana keadaan kering berpanjangan menyukarkan hujan berlaku.
Katanya, tanpa hujan, zarah jerebu yang terampai di atmosfera tidak dapat dibersihkan sekali gus menyebabkan pencemaran udara bertambah buruk.
“Ketika monsun barat daya, angin lazim bertiup dari arah barat daya menyebabkan kawasan pantai barat Semenanjung dan Sarawak sering menerima kesan jerebu rentas sempadan.
“Namun, masyarakat juga perlu sedar bahawa jerebu bukan hanya berpunca dari luar negara kerana pembakaran terbuka, pembakaran hutan, asap kenderaan dan aktiviti tempatan turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




