Glasgow: Scotland mengukuhkan usaha mereka untuk layak ke Piala Dunia selepas jaringan antarabangsa pertama Lewis Ferguson membantu pasukan itu mencatat kemenangan penting 3-1 ke atas Greece di Glasgow, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Steve Clarke ketinggalan apabila Kostas Tsimikas meledak gol untuk Greece pada minit ke-62 di Stadium Hampden Park.
Namun, Ryan Christie menyamakan kedudukan dua minit kemudian sebelum Ferguson meraikan penampilan ke-19 bersama skuad kebangsaan dengan gol pertamanya, 10 minit sebelum perlawanan tamat.
Pemain gantian, Lyndon Dykes melengkapkan kebangkitan dramatik Scotland pada masa kecederaan sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di tangga kedua Kumpulan C, terikat mata dengan pendahulu Denmark dan empat mata di depan Greece.
Memburu penampilan pertama di pentas Piala Dunia sejak 1998, Scotland akan menentang Belarus pada aksi seterusnya, Ahad ini.
“Apabila mereka menjaringkan gol, kami mula bermain lebih bebas dan dari situ kami menamatkan perlawanan dengan cemerlang.
“Bola sepak dimainkan selama 90 minit dan kita perlu pastikan keputusan akhirnya positif. Kemenangan 3-1 mungkin nampak besar, tetapi kami berhak menang malam ini.
“Ia memberi kami tiga mata berharga dan membawa kami selangkah lebih dekat dengan sasaran kami,” kata Clarke.
Greece sebelum ini menang 3-0 di Stadium Hampden dalam aksi play-off Liga Negara-Negara pada Mac lalu, dan kali ini mereka juga bermula garang sebaik wisel dibunyikan.
Vangelis Pavlidis hampir membuka jaringan untuk pelawat selepas gerakan menarik di awal permainan, namun penyudahnya tersasar.
Scotland pula kelihatan bergelut untuk mengekalkan penguasaan bola, sering melakukan hantaran jauh kepada penyerang tunggal, Che Adams, ketika Greece menekan tinggi.
Pavlidis dan Giorgos Masouras turut melepaskan peluang apabila percubaan mereka tersasar, sebelum Greece akhirnya membuka tirai jaringan menerusi satu gerakan kemas.
Grant Hanley sempat menahan rembatan pertama, namun bola muntah disambar pemain pertahanan kiri Roma, Tsimikas, yang melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol.
Scotland pantas menyamakan kedudukan apabila hantaran tinggi Anthony Ralston ke kawasan penalti ditanduk Hanley sebelum pemain tengah Bournemouth, Christie, menyusup masuk untuk merembat ke gawang.
Pemeriksaan VAR yang panjang mengesahkan Hanley berada dalam kedudukan yang dibenarkan sebelum mencipta bantuan gol berkenaan.
Scotland bernasib baik apabila pemain gantian Greece, Giannis Konstantelias, menanduk bola keluar walaupun berpeluang keemasan di depan gol.
Namun skuad bimbingan Clarke terus menguasai permainan apabila rembatan Adams sedikit tersasar hasil sepakan percuma Billy Gilmour.
Scotland akhirnya berada di depan 10 minit sebelum tamat apabila sepakan percuma jauh Andy Robertson mencetus kekalutan di benteng pertahanan Greece.
© New Straits Times Press (M) Bhd




