Feri Butterworth ke Pulau Pinang bermula lebih awal esok – Utusan Digital

GEORGETOWN: Perkhidmatan feri penumpang pejalan kaki bagi trip pertama dari Butterworth ke bahagian pulau akan bertolak setengah jam lebih awal iaitu pukul 6.30 pagi bermula esok selaras dengan pembukaan sesi persekolahan. 

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, sebelum ini trip pertama dari Butterworth ke Pulau Pinang bertolak pukul 7 pagi kerana jumlah penumpang tidak begitu ramai ekoran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Kini, dengan kerjasama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), trip perkhidmatan feri telah diawalkan pukul 6.30 pagi bermula esok untuk memberi kemudahan kepada mereka yang akan memulakan sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, jadual perkhidmatan feri penumpang pejalan kaki tersebut juga akan dipinda mengikut keperluan semasa dan permintaan orang awam bagi memastikan hanya perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada orang ramai. 

Dalam pada itu beliau berkata, ruangan menunggu feri penumpang pejalan kaki di terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) telah dipindahkan ke tingkat bawah bangunan tersebut susulan pembukaan kembali aktiviti kapal pelayaran domestik.

“Perubahan ruangan menunggu tersebut dilihat lebih baik kerana penumpang feri tidak perlu mengambil masa untuk ke tingkat atas seperti yang dipraktikkan sebelum ini,” katanya. 

Sementara itu tambah beliau, kerja-kerja menaik taraf terminal feri di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan  Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) sedang giat dilaksanakan ketika ini. 

“Kerajaan Pusat juga telah bersetuju menyalurkan peruntukan RM30 juta kepada PPSB bagi tujuan pembelian feri-feri baharu. 

“Kami telah menyerahkan separuh daripada jumlah RM30 juta tersebut iaitu RM15 juta kepada pihak PPSB pada 27 Disember lalu dan selebihnya akan diserahkan tahun ini,” katanya.  – UTUSAN