Georgetown: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengumumkan perkhidmatan feri percuma bagi warganegara Malaysia sempena Hari Wesak 12 Mei ini.
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata tambang percuma itu membabitkan perjalanan kedua-dua arah dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dan sebaliknya.
“Trip pertama dari PSAH bermula pada 6.30 pagi dan terakhir pada 11 malam manakala dari Pangkalan Raja Tun Uda bermula 7 pagi dengan trip terakhir pada 11.30 malam.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan merujuk jadual feri yang terkini melalui laman sesawang serta media sosial rasmi SPPP dan PPSB,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Yeoh berkata, perkhidmatan percuma itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien.
Beliau memaklumkan statistik perkhidmatan feri melibatkan perjalanan dua hala pada sambutan Hari Wesak tahun lepas merekodkan lebih 4,391 penumpang pejalan kaki dan 1,584 kenderaan dua roda.
Angka itu menyumbang kepada jumlah penumpang pejalan kaki bagi 2024 sebanyak 2.13 juta dan 747,785 kenderaan dua roda.
© New Straits Times Press (M) Bhd