Paris: Ferrari mengesahkan perpisahan dengan pemandu simpanan mereka, Zhou Guanyu dari China menjelang saingan Formula Satu (F1) musim 2026.
Pelumba kelahiran Shanghai itu berperanan sebagai pemandu simpanan Ferrari musim lalu selepas mengharungi tiga musim bersama Sauber dari 2022 hingga 2024, dengan keseluruhan 68 penampilan perlumbaan F1.
Zhou, 26, turut mencipta sejarah tersendiri sebagai satu-satunya pemandu China yang pernah beraksi sepenuh masa dalam F1.
“Terima kasih atas komitmen dan sumbangan Zhou Guanyu sebagai Pemandu Simpanan Ferrari musim ini,” kata Ferrari menerusi hantaran di media sosial, sambil mendoakan yang terbaik buat pelumba itu.
Sepanjang bersama Ferrari, Zhou tidak diturunkan dalam sebarang perlumbaan apabila pasukan itu mempertaruhkan Charles Leclerc dari Monaco dan Lewis Hamilton dari Britain sebagai pemandu utama bagi musim 2025.
Leclerc dan Hamilton masing-masing menamatkan musim di kedudukan kelima dan keenam keseluruhan, manakala Ferrari mengakhiri kempen di tempat keempat carta pengeluar.
Zhou yang juga graduan Akademi Pemandu Ferrari pernah bergelar juara Asia 2021 sebelum dinobatkan sebagai Rookie Terbaik Autosport pada musim sulungnya dalam F1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




