Ferrari musnah terbakar, pasangan kekasih sempat selamatkan diri

Ferrari musnah terbakar, pasangan kekasih sempat selamatkan diri

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang jurutera teknologi maklumat dari Singapura bersama teman wanita terselamat walaupun kereta mewah jenis Ferrari terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 110 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Jambatan Kampung Gadak, Muadzam Shah, Rompin hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata berdasarkan laporan, kereta jenis Ferrari 458 Spider itu dipandu lelaki berusia 34 tahun dan kejadian kira-kira jam 10.45 pagi.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Singapura ke Cherating bersama rakan iaitu konvoi membabitkan 13 kereta Ferrari pelbagai model dari Singapura.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

“Akibat kemalangan itu, kereta mewah itu terbakar dan musnah keseluruhannya. Bagaimanapun, mangsa dan teman wanitanya yang berada dalam kereta sempat menyelamat diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, lelaki terbabit disaman mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top