Ferrari sedia cabar Mercedes di Shanghai

Ferrari sedia cabar Mercedes di Shanghai

Shanghai: Pasukan Ferrari dan pelumba bintang mereka Lewis Hamilton berpeluang menutup kitaran kemarau kemenangan apabila Formula Satu (F1) kembali beraksi di Grand Prix (GP) China hujung minggu ini.

Ferrari belum meraih sebarang kemenangan sejak kejayaan Hamilton dalam perlumbaan pecut di Shanghai tahun lalu, manakala kemenangan terakhir mereka dalam perlumbaan utama adalah pada 2024.

Pada perlumbaan pembuka musim di GP Australia minggu lalu, Ferrari muncul pencabar terdekat Mercedes apabila Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala Hamilton keempat di belakang kemenangan satu-dua Mercedes menerusi George Russell dan Kimi Antonelli.

Ketua pasukan Mercedes Toto Wolff mengakui Ferrari kini menjadi pencabar utama.

“Bagi saya, perasaan utama sekarang ialah kami mempunyai persaingan sengit dengan Ferrari,” katanya selepas perlumbaan di Melbourne.

Hamilton pula optimis Ferrari mampu merapatkan jurang prestasi dengan Mercedes selepas musim lalu yang sukar buat juara dunia tujuh kali itu.

“Sudah tentu kami belum sepantas Mercedes dan masih ada kerja yang perlu dilakukan, tetapi kami berada dalam persaingan.

“Saya percaya kami boleh menutup jurang itu,” katanya.

Ferrari juga mempunyai sokongan besar di China dengan warna merah yang dianggap simbol tuah di negara berkenaan, manakala Hamilton adalah pelumba paling berjaya di Litar Shanghai dengan enam kemenangan sepanjang kariernya bersama McLaren dan Mercedes.

Namun cabaran dijangka lebih sukar pada perlumbaan kali ini kerana ia menggunakan format perlumbaan pecut, yang hanya menyediakan satu sesi latihan pada hari Jumaat.

Leclerc berkata, situasi itu akan menjadi cabaran besar kerana pasukan masih menyesuaikan diri dengan jentera baharu musim ini.

“Dengan perlumbaan pecut seawal ini dalam musim, ia akan menjadi cabaran besar untuk semua pasukan,” katanya.

Perlumbaan di Shanghai juga dijangka berbeza daripada Melbourne kerana litar berkenaan menampilkan dua laluan lurus panjang yang memerlukan strategi penggunaan tenaga yang berbeza.

Sementara itu, Red Bull berharap dapat bangkit selepas hanya Max Verstappen menamatkan perlumbaan di Australia manakala rakan sepasukannya Isack Hadjar terpaksa menarik diri.

Pasukan Aston Martin pula berdepan tugas sukar selepas bergelut dengan masalah enjin di Melbourne, dengan Fernando Alonso mengakui peluang mereka untuk menamatkan perlumbaan di Shanghai agak tipis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top