dayana@mediaprima.com.my
APABILA Atas Angin mengumumkan tema “One Last Shine” bagi Festival Atas Angin yang diadakan, baru-baru ini maka komuniti indie memahami bahawa ini pengakhiran sebuah legasi.
Ruang atas bumbung pusat beli-belah Mytown di Kuala Lumpur menjadi saksi lebih 4,000 penonton hadir meraikan persembahan 38 band dan 10 DJ pada siri terakhir Festival Atas Angin.
Secara peribadi penulis sendiri menyertai empat siri Festival Atas Angin yang mula diperkenalkan pada 2022 dan peluang turut serta pada konsert terakhir ini menjadi momen sedikit sayu bagi penyokong band indie tempatan.
Ini kerana penganjur yang berani menggerakkan konsert menghimpunkan sebahagian besar band indie tempatan seumpama ini mewakili angka sangat kecil.
Dari dua pentas pada acara 2022 dan berkembang ke lima pentas pada 2024, kemudian tiga pentas pada siri terakhir ini, penganjur dan kru teknikal Atas Angin sewajarnya diberikan pujian atas kerja keras yang dicurahkan bagi menjayakan acara seperti ini.
Artikel ini mungkin tidak dapat menggambarkan keseluruhan konsert kerana memandangkan dua pentas berlangsung serentak, penulis tidak dapat mengikuti persembahan semua band yang disenaraikan.
Penulis memulakan jejak konsert ini dengan Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS), yang menjadi penanda aras baharu dalam barisan band ska/reggae di Malaysia.
Pujian harus diberikan kepada teraju utama, John Bear yang biasa mengendali dan menjadi tetamu bagi pelbagai siri audio siar kerana kemahiran komunikasi bersama penonton membuatkan sesi berkenaan tidak membosankan.
Terima kasih juga BNHS kerana memberi nafas baharu untuk lagu Cari Tapak nyanyian asal kumpulan Senario.
Persembahan seterusnya dari band ska punk Plague of Happiness yang membawakan sebahagian besar lagu-lagu dari album Tunjal sempena ulang tahun ke-10 album berkenaan.
Seperti biasa, ruang penonton sedikit kacau bilau dengan tarian ‘skanking’, ‘body surfing’ dan ‘circle pit’, namun kru berjaya mengawal keadaan dengan tenang.
Beralih ke sesi malam, penulis meneruskan jejak di persembahan Hujan yang pastinya tidak asing lagi dalam scene indie tempatan.
Ketika Atas Angin mengumumkan fasa pertama barisan band untuk acara ini, penulis tidak menyangka Hujan akan disenaraikan kerana mereka sudah berada dalam kelas tersendiri kerana pernah mengadakan beberapa siri konsert solo.
Kemunculan Hujan umpama bonus buat pengikut setia acara dianjurkan Atas Angin.
Walaupun baru saja menjalani pembedahan pada Januari lalu, vokalis Hujan, Noh Salleh tampil bertenaga dengan barisan lagu ‘keras’ yang membuatkan penonton tidak keruan.
Malah, ia adalah penampilan kedua Noh Salleh untuk konsert ini selepas membuat persembahan bersama Da Vagabonds pada sesi petang.
\Sesi seterusnya menampilkan Tebabo, band terbaharu yang diterajui pempengaruh Adam John yang terkenal dalam kalangan penggemar koleksi mainan.
Secara peribadi ini adalah kali pertama penulis menyaksikan band ini secara langsung dan lebih mengujakan apabila Emmet Butterfingers tampil sebagai penyanyi undangan.
Gandingan ini memulakan persembahan dengan lagu cover ‘Master of Puppets’ dendangan asal Metallica dan diikuti tiga cover lagu dari Butterfingers.
Ia sedikit sebanyak dapat mengubat rindu peminat Butterfingers kerana pada sesi sebelumnya gitaris band berkenaan, Loque, tampil bersama band sendiri MonoloQue yang turut menyuntik nostalgia apabila membawakan nafas baharu bagi lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir nyanyian asal Herman Tino dan Tiada Kata Secantik Bahasa dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Memandangkan persembahan MonoloQue tamat sedikit lewat, ia memberi kesan kepada giliran Gerhana Ska Cinta yang menanti di pentas bersebelahan.
Ini kerana pemain dram Bakri Ismail turut bermain di posisi sama untuk Gerhana Ska Cinta menyebabkan mereka terpaksa menanti sehingga persembahan MonoloQue berakhir.
Tidak berhenti di situ, Bakri turut bermain posisi sama untuk The Times sejurus selepas persembahan Gerhana Ska Cinta tamat.
Ia bermakna Bakri bermain di posisi dram untuk tiga band tanpa henti yang berkemungkinan membabitkan lebih 20 lagu. Sebagaimana seloroh vokalis The Times, Naza bahawa Bakri memiliki ‘enam injap pada jantungnya’.
Selain itu, banyak band lain yang memberikan persembahan bertenaga termasuk Masdo, Johny Comes Lately, Naratu, Couple, Bittersweet, Aboi dan 6ixth Sense.
Kejayaan konsert ini membuktikan bahawa Atas Angin bukan sekadar penganjur, sebaliknya berperanan sebagai kurator yang memberikan ruang kepada band-band ini untuk bersinar selama bertahun-tahun.
Konsert ini menjadi medan pertemuan band besar dan kecil yang berdiri di bawah cahaya sama.
“One Last Shine” bukanlah pengakhiran kepada perjuangan scene ini, sebaliknya ia berkaitan menghargai cahaya yang pernah ada.
Ia adalah satu penghormatan kepada kerja keras kru belakang tabir yang sering kali tidak didendang.
Terima kasih dan selamat tinggal Festival Atas Angin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




