razis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Suasana di Dataran Putrajaya Presint 3 di sini meriah dengan kehadiran ratusan pengunjung yang berkumpul untuk berbuka puasa ala piknik sempena Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2026.
Dengan berlatarbelakangkan keindahan seni bina Istana Kehakiman dan pintu gerbang Perbadanan Putrajaya, suasana berbuka puasa di Dataran Putrajaya dilihat begitu menarik.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati seawal jam 5.30 petang, orang ramai dilihat mula memenuhi kawasan lapang itu dengan membawa tikar, kerusi dan meja lipat.
Dalam suasana santai, pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia turut membawa bekal dari rumah dan membeli juadah di bazar berhampiran untuk berbuka puasa di ruang terbuka itu bersama keluarga dan rakan.
Sementara menunggu azan berkemundang, pengunjung berpeluang mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan penceramah bertugas.
Bukan itu sahaja, pengunjung turut tidak melepaskan peluang membeli dan ‘mencuci mata’ pelbagai kelengkapan Aidilfitri dijual di Anjung Syawal FRP 2026.
Salah seorang pengunjung, Muhammad Amirul Ashraf Saruddin, 30, berkata, ini adalah kali pertama dia berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa di situ selepas sering melihat kemeriahannya di media sosial.
“Saya tiba kira-kira jam 5.30 petang bersama isteri dan anak kerana mahu merasai sendiri suasana berbuka puasa ala berkelah itu selepas melihatnya media sosial.
“Suasana memang meriah apabila ratusan pengunjung berkumpul di satu tempat terbuka untuk berbuka puasa beramai-ramai,” katanya.
Menurutnya, konsep berbuka puasa di kawasan terbuka seperti itu memberi kelainan kerana orang ramai dapat duduk bersama dalam suasana santai dan harmoni.
“Kita dapat lihat pelbagai lapisan usia berkumpul untuk berbuka bersama-sama sekali gus dapat mengeratkan silaturahim sesama masyarakat,” katanya.
Sementara itu, pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Azwani Amirah Abdullah, 22, berkata, dia datang bersama empat rakannya untuk berbuka puasa di situ kerana tertarik dengan pelbagai kemudahan yang yang disediakan.
“Sebelum ini saya bersama rakan pernah beberapa kali datang berbuka puasa di sini.
“Di sini pelbagai kemudahan yang disediakan untuk keselesaan pengunjung termasuk kemudahan tempat letak kereta yang luas, masjid, surau dan tandas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




