Pelakon Sharnaaz Ahmad, 40, tidak meletakkan harapan tinggi terhadap pencalonannya dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 menerusi filem pecah panggung Blood Brothers: Bara Naga.
Sebaliknya, Sharnaaz menyatakan kejujuran dan ketelusan penganjur jauh lebih penting berbanding sekadar mengejar trofi atau pengiktirafan antarabangsa.
“Saya sebenarnya tak kisah pun kalau menang atau tidak. Apa yang saya harapkan, biarlah penganjuran FFM berpaksikan keadilan dan bukannya dipengaruhi faktor luar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman Top 5 FFM 34 malam tadi.
Menurut pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu, kemenangan di pentas berprestij seperti FFM seharusnya menggambarkan kehebatan sebenar karya tempatan dan bukannya diukur berdasarkan trend atau kejayaan luar negara.
“Fokuslah pada kekuatan industri filem kita sendiri. Jangan sebab ada orang menang di luar negara, kita pun rasa wajib ikut. Kemenangan sepatutnya berasaskan mutu dan kualiti karya. Ini Festival Filem Malaysia, jadi hormatilah pentas kita,” tegasnya.

Ketika diminta menjelaskan maksud tersirat kenyataannya itu, Sharnaaz menjelaskan bahawa ia sekadar luahan peribadi yang spontan tanpa menujukan kepada mana-mana individu.
“Tak ada maksud tertentu… saya cuma cakap spontan sahaja,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, Sharnaaz meluahkan rasa syukur atas kejayaan Blood Brothers: Bara Naga yang meraih 13 pencalonan di FFM 34, termasuk kategori Lagu Tema Terbaik.
“Alhamdulillah, ini hasil kerja keras semua orang, terutama pengarah Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra serta seluruh pasukan produksi. Setiap pencalonan ini adalah penghargaan buat semua yang terlibat,” katanya.
Untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sharnaaz bakal bersaing dengan nama-nama hebat seperti Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).




