norhayati_nordin@hmetro.com.my
Hulu Klang: Penganjuran Festival Filem Malaysia edisi ke-34 (FFM34) kali ini mensasarkan penyertaan kira-kira 60 filem tempatan yang ditayangkan pawagam dari 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2025 layak bertanding.
Malah, sebanyak 30 kategori dipertandingkan, termasuk satu kategori baru yang diperkenalkan iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik dengan hadiah wang tunai, RM5,000 kepada pemenang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kategori Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik itu diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan kepada pelakon aksi lasak tanah air.
“Saya mengumumkan bahawa satu kategori baharu diperkenalkan dalam FFM34 tahun ini iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik yang diangkat sebagai pengiktirafan terhadap keberanian, kesungguhan dan profesionalisme karyawan dalam menjayakan adegan aksi yang mencabar, selamat dan berkualiti.
“Apatah lagi, lonjakan ketara penerbitan filem aksi tempatan menunjukkan bukan saja peningkatan dari segi teknikal dan keselamatan, tetapi juga pencapaian nilai tontonan yang tinggi.
“Justeru, kategori ini diperkenalkan untuk meraikan usaha luar biasa tenaga produksi, pasukan teknikal dan pelakon lagak ngeri yang sering berada di barisan hadapan babak berisiko tinggi,” katanya pada sidang media pertama FFM34 di Studio Digital Mix Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di sini.
Menurut Teo, FFM34 yang dianjurkan oleh Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi ini memilih tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik seiring dengan perkembangan industri perfileman tanah air ketika ini.
Difahamkan juga antara kategori dipertandingkan pada edisi ini, termasuk kategori khas seperti Anugerah Khas Filem Box Office, Anugerah Khas Juri, dan Anugerah Sepanjang Zaman.
Justeru, pemenang bagi kategori utama iaitu Filem Terbaik akan menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000 sebagaimana pernah diterima pemenang lalu.
Menariknya juga, prestasi semasa industri ketika ini menunjukkan momentum positif apabila sebanyak 39 filem sudah ditayangkan sehingga 30 Jun lalu dengan kutipan ‘box office’ diraih mencecah RM162.89 juta, berbanding RM125.28 juta untuk tahun lalu.
Acara hiburan tahunan berprestij tanah air yang mengiktiraf pencapaian filem terbaik tempatan ini akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 8 November depan.
Selain Teo, hadir sama pada majlis sidang media pertama FFM33 itu ialah Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Pengarah FFM34, Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad dan wakil daripada persatuan seni tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd