FGV catat PBT RM209 juta pada suku kedua

FGV catat PBT RM209 juta pada suku kedua

PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 48 peratus kepada RM209 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM141 juta pada tempoh sama tahun lalu, disokong prestasi lebih kukuh Divisyen Perladangan.

Keuntungan operasi kumpulan (sebelum perubahan nilai saksama dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan susut nilai) turut naik kepada RM341 juta daripada RM239 juta tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM137 juta berbanding RM86 juta pada suku sama 2024.

Perolehan pula meningkat lima peratus kepada RM5.79 bilion, didorong purata harga Minyak Sawit Mentah (MSM) direalisasi lebih tinggi pada RM4,218 setiap tan metrik (MT) berbanding RM4,103 MT tahun lalu. 

Bagaimanapun, sumbangan perniagaan hiliran lebih perlahan khususnya dalam Divisyen Minyak dan Lemak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, prestasi suku kedua mencerminkan ketahanan syarikat serta keupayaannya menyesuaikan diri dalam persekitaran mencabar.

“Kami terus melangkah kukuh memperkukuh perniagaan teras sambil membina laluan pertumbuhan baharu bagi memposisikan FGV untuk masa depan. 

“Keseimbangan antara kestabilan dan transformasi ini membolehkan kami melaksanakan keutamaan segera tanpa menjejaskan aspirasi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Divisyen Perladangan mencatatkan keuntungan lebih tinggi sebanyak RM157 juta berbanding RM101 juta tahun lalu, disokong pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) lebih tinggi iaitu 1.13 juta MT berbanding 0.96 juta MT, sekali gus meningkatkan hasil kepada 4.45 MT sehektar daripada 3.76 MT sehektar.

Kos operasi ladang menurun 21 peratus, manakala kadar perahan minyak (OER) sedikit rendah pada 20.09 peratus berbanding 20.48 peratus tahun lalu. 

Jumlah BTS diterima meningkat lima peratus kepada 3.85 juta MT berbanding 3.66 juta MT, dipacu sumbangan lebih tinggi daripada ladang FGV dan peneroka FELDA.

Secara keseluruhan, 29 peratus atau 1.12 juta MT dihasilkan secara dalaman, 29 peratus (1.10 juta MT) diperoleh daripada pihak ketiga, manakala 42 peratus (1.63 juta MT) diterima daripada peneroka FELDA.

Segmen getah pula mencatatkan kerugian lebih tinggi berikutan volum jualan lemah, ketidakpadanan harga dan kelewatan penghantaran, selain susut nilai RM8.60 juta bagi kilang yang merekodkan kerugian. 

Margin perniagaan baja turut tertekan akibat kos bahan mentah meningkat serta purata harga jualan lebih rendah. Caj nilai saksama LLA meningkat kepada RM131.84 juta berbanding RM66.68 juta.

Bagi Divisyen Minyak dan Lemak, keuntungan berjumlah RM46 juta, mencerminkan margin dagangan lebih sempit dalam segmen komoditi pukal. Segmen kimia terkesan volum jualan oleokimia dan biodiesel akibat permintaan perlahan. 

Sebaliknya, segmen minyak boleh dimakan mencatat prestasi positif dengan margin serta volum jualan lebih kukuh, manakala keuntungan daripada usaha sama naik kepada RM15.91 juta berbanding RM0.28 juta.

Divisyen Logistik dan Sokongan melaporkan keuntungan RM45 juta berbanding RM38 juta, disokong pembalikan susut nilai penghutang sebanyak RM12 juta dalam segmen IT. 

Ia tidak termasuk pembalikan itu, keuntungan divisyen adalah lebih rendah berikutan penurunan 14 peratus dalam segmen logistik disebabkan kadar pengendalian lebih rendah serta kos operasi pengangkutan meningkat, walaupun jumlah tonase diuruskan bertambah.

Dalam pada itu, kerugian Divisyen Gula mengecil kepada RM21 juta berbanding RM30 juta tahun lalu, didorong margin lebih tinggi dan penggunaan kapasiti lebih baik meskipun perolehan menurun akibat purata harga jualan lebih rendah.

Divisyen Produk Pengguna turut mencatatkan kerugian lebih kecil iaitu RM7 juta berbanding RM21 juta pada suku sama tahun lalu, disokong margin lebih baik serta subsidi kerajaan untuk minyak masak botol. 

Segmen Pertanian Bersepadu dan Tenusu pula terus berdepan tekanan hasil, margin mengecil serta susut nilai aset bukan kewangan sebanyak RM2.44 juta dalam segmen Tenusu.-UTUSAN

 

Scroll to Top