FGV ditawar lanjutan kontrak pasang meter pintar TNB

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV), menerusi anak syarikat dan cabang teknologinya, FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata) ditawarkan lanjutan kontrak pemasangan meter pintar Tenaga Nasional Bhd (TNB) sehingga Mac 2022.

Ia bagi mempercepat kerja pemasangan serta sistem sokongan projek Infrastruktur Permeteran Maju (AMI) Fasa Kedua meter pintar syarikat utiliti nasional berkenaan.

Pegawai Bertanggungjawab dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad, berkata lanjutan kontrak TNB itu menandakan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan dan keupayaan digital FGV dalam menguruskan projek berskala besar negara.

“Penyertaan berterusan FGV dalam projek AMI TNB ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong agenda digitalisasi negara.

“Kami yakin projek ini akan menjadi nadi penting dalam infrastruktur grid kuasa yang mampu meningkatkan kecekapan tenaga di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Azman berkata, meter pintar adalah peluang baharu FGV dalam mengembangkan skop perniagaan digital dan komunikasi pintar kami.

“Menerusi kepakaran yang dimiliki dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penyatuan komponen hujung-ke-hujung, FGV menyasar untuk terus memperkasa pelanggan TNB dengan meningkatkan capaian mereka terhadap data penggunaan tenaga menerusi kemudahan dan teknologi baharu.

“Ini membolehkan pengurusan bil elektrik dilakukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

FGV Prodata dilantik sebagai salah satu vendor bagi membekal dan memasang infrastruktur AMI Fasa Kedua bernilai RM6.5 juta.

Di bawah fasa ini, terdapat kira-kira 1,600 tapak yang dilengkapi dengan peralatan AMI merangkumi ‘gateway’, ‘extender bridge’, ‘nan collector dan repeater’ bakal disiapkan oleh vendor yang terbabit di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor.

Sehingga kini, FGV Prodata telah berjaya memasang peralatan berkenaan di lebih 166 tapak.

FGV Prodata bertanggungjawab memasang infrastruktur tiang berukuran 15 hingga 30 meter bagi membolehkan capaian kepada frekuensi radio di setiap lokasi pencawang yang ditetapkan oleh TNB.

Kerja-kerja pemasangan ini meliputi persiapan tapak, pembinaan tapak, pemasangan peralatan dan kabel di samping pengujian dan pengoperasian.

Meter pintar ialah peranti yang merekodkan penggunaan elektrik harian dengan menyampaikan maklumat tersebut secara automatik kepada TNB menerusi frekuensi gelombang radio untuk ketepatan bil.

Sistem ini turut menyediakan maklumat penggunaan tenaga pada masa sebenar, pengebilan secara automatik dan penyambungan bekalan elektrik serta merta.

Menuju ke hadapan, FGV akan terus menawarkan aplikasi baharu menerusi Revolusi Industri 4.0 yang merangkumi perkhidmatan Analisis Data Besar, Pengkomputeran Awan, dan Internet Kebendaan (IoT) bagi memenuhi keperluan teknologi pengguna di masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd