FGV Holdings Berhad (FGV) terus memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian bagi memenuhi keperluan industri, pekebun kecil dan pengusaha pertanian.
Usaha itu diteruskan menerusi pengenalan tiga inovasi, BacN-Fix, Adjuvax 248 dan FGV Geotagger Pro sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Ketiga-tiga inovasi yang dibangunkan menerusi kepakaran dalaman FGV itu dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sepanjang lebih lima dekad, keupayaan R&D FGV berkembang daripada pembangunan bahan tanaman dan penyelesaian agronomi kepada teknologi hijau, digitalisasi serta automasi.
Dalam sektor perladangan, bahan tanaman yang dibangunkan FGV kini membekalkan lebih 40 peratus daripada keperluan tahunan benih sawit cambah di Malaysia dengan kapasiti pengeluaran sehingga 30 juta biji cambah setahun.
Keupayaan R&D kumpulan itu turut merangkumi pembangunan bahan tanaman bernilai tinggi seperti nanas, pisang dan kelapa.
Bagi tiga inovasi yang diperkenalkan, BacN-Fix merupakan penggalak tumbuhan berasaskan bakteria baik bagi membantu penyerapan nutrien dan pertumbuhan tanaman.
Adjuvax 248 pula dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan racun perosak dan racun rumpai melalui penyebaran semburan yang lebih baik, manakala FGV Geotagger Pro merupakan teknologi pemetaan dan penentuan lokasi bagi menyokong aktiviti pertanian tepat serta pengurusan ladang.
Pengarah Urusan Kumpulan FGV, Nurul Muhaniza Hanafi berkata, pemodenan sektor pertanian memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan teknologi dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal serta memenuhi keperluan sebenar industri.
“Dengan kekuatan R&D dan pengalaman operasi yang dibina selama lebih lima dekad, FGV akan terus menterjemahkan kepakaran ini kepada inovasi yang mempertingkatkan nilai dan memperluaskan manfaat kepada industri, pekebun kecil dan pengusaha pertanian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut FGV, skala dan pengalaman operasinya sebagai antara entiti utama dalam ekosistem FELDA turut menyediakan ruang untuk inovasi diuji serta ditambah baik dalam persekitaran sebenar sebelum diperluaskan penggunaannya.
Pendekatan sama turut digunakan menerusi ujian biodiesel B100 dalam operasi perladangan FGV pada Julai lalu.
Keupayaan R&D FGV merangkumi penyelidikan huluan dan hiliran termasuk pembangunan bahan tanaman, kawalan biologi serta produk pengguna.
Pada MAHA 2026, FGV menerusi anak syarikatnya, FGV Agri Services Sdn Bhd turut menerima Anugerah Peserta Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Paling Aktif bagi kategori Bahan Tanaman, Tanaman Industri daripada Jabatan Pertanian Malaysia.
Ketiga-tiga inovasi yang diperkenalkan pada MAHA 2026 itu kini telah dikomersialkan untuk kegunaan industri dan pengusaha pertanian.