FIFA lulus pemain warisan baharu Harimau Malaya

FIFA lulus pemain warisan baharu Harimau Malaya
Kelima-lima pemain warisan baharu negara mendapat lampu hijau untuk beraksi menentang Vietnam malam ini.

Kelima-lima pemain warisan baharu negara mendapat lampu hijau untuk beraksi menentang Vietnam malam ini.

PERTIKAIAN mengenai status pemain warisan baharu negara akhirnya terlerai selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan status kelima-lima pemain tersebut.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado kini layak untuk diturunkan bersama skuad kendalian Peter Cklamovski.

“FAM ingin memaklumkan bahawa kelima-lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya telah mendapat kelulusan daripada FIFA.

“Mereka bakal membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi malam ini,” kata kenyataan itu.

Kelima-lima pemain tersebut berkemungkinan bakal diturunkan dalam pertembungan menentang Vietnam yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sebelum ini, FAM memperkenalkan lima pemain berdarah warisan menyertai skuad negara pada kali ini, namun tindakan itu mengundang persoalan dalam kalangan segelintir penyokong bola sepak serantau.

Terdapat pihak mempertikaikan kaitan keturunan pemain-pemain terbabit dengan Malaysia dan meminta FAM menjelaskan secara terperinci keturunan kesemua pemain tersebut.

Scroll to Top