FIFA perkenal kamera pengadil dan ‘Peraturan Arteta’

FIFA perkenal kamera pengadil dan ‘Peraturan Arteta’

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan pelbagai perubahan undang-undang serta teknologi terkini sempena edisi baharu Piala Dunia Kelab yang kini berlangsung di Amerika Syarikat, melibatkan 32 pasukan dan 63 perlawanan di 11 bandar utama.

Semua pelarasan telah dipersetujui pada mesyuarat Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) di Belfast, Februari lalu.

Undang-undang dan teknologi baharu itu akan diterapkan dalam kejohanan kali ini sekali gus menjadikannya antara pertandingan paling moden pernah dianjurkan oleh FIFA.

Antara perubahan ketara adalah pengenalan sistem “kiraan lima saat” yang menyaksikan pengadil mengangkat tangan sebagai amaran kepada penjaga gol untuk melepaskan bola dengan segera atau sepakan sudut akan diberikan kepada lawan.

Peraturan ini dilihat berkesan dalam ujian terdahulu di Copa Libertadores dan Copa Sudamericana.

FIFA turut memperkenalkan peraturan “kapten sahaja” yang membenarkan hanya ketua pasukan bercakap dengan pengadil, manakala pemain lain yang melanggar peraturan ini akan dikenakan kad kuning.

Selain itu, peraturan baharu dikenali sebagai “Peraturan Arteta” juga dilaksanakan, di mana sekiranya jurulatih atau pemain simpanan secara tidak sengaja menyentuh bola sebelum ia keluar padang, hanya sepakan percuma tidak langsung diberikan tanpa sebarang hukuman tambahan.

Satu lagi pembaharuan penting melibatkan situasi sepakan penalti. Jika pemain secara tidak sengaja menyentuh bola dua kali, contohnya terkena kaki sendiri dan penalti itu berjaya disempurnakan, sepakan akan diambil semula, bukan dibatalkan seperti sebelum ini.

Di samping itu, FIFA memperkenalkan teknologi ofsaid separa automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang akan menghantar isyarat kepada pembantu pengadil secara automatik apabila pemain berada lebih empat inci ofsaid dan menyentuh bola.

Sistem ini dijangka mempercepatkan dan memperkemas proses membuat keputusan.

Paling mencuri tumpuan ialah penggunaan kamera pengadil (ref cam), yang dipasang pada tahap mata dan disambung terus ke sistem komunikasi video bantuan pengadil (VAR).

Walaupun rakaman ini tidak disiarkan secara langsung semasa perlawanan, ia akan digunakan untuk tayangan semula bagi memberi perspektif unik kepada peminat tentang sesuatu insiden.

Perbualan antara pengadil dan pasukan VAR masih hanya boleh disiarkan selepas perlawanan, namun penyokong di stadium kini boleh melihat visual semakan VAR di skrin besar secara serentak dengan para pegawai perlawanan.

Bagi mengelakkan kekeliruan pertukaran pemain, pasukan kejurulatihan akan diberikan tablet khas untuk merekodkan pertukaran secara digital, menggantikan sistem nota tulisan tangan kepada pegawai keempat.

Scroll to Top