Fifa siasat isu perkauman, Fernandez mohon maaf terbuka

Fifa siasat isu perkauman, Fernandez mohon maaf terbuka

Paris: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membuka siasatan mengenai nyanyian berbaur perkauman oleh pemain Argentina selepas memenangi Copa America, Ahad lalu.

“Fifa sedia maklum mengenai video yang tular di media sosial dan insiden berkenaan sedang disiasat,” kata jurucakap Fifa.

Beliau menambah: “Fifa mengecam sebarang bentuk diskriminasi kepada sesiapa saja sama ada pemain, penyokong dan pegawai pasukan.”

Nyanyian itu dapat didengar menerusi video siaran langsung yang dimuat naik di media sosial oleh pemain tengah Chelsea dan Argentina, Enzo Fernandez dari dalam bas pasukan selepas mereka menewaskan Colombia di Miami, Ahad lalu.

Sebahagian pemain termasuk Fernandez, 23, menyanyikan lagu pernah dinyanyikan selepas Argentina menewaskan Perancis di final Piala Dunia 2022 di Qatar.

Lagu itu menyasarkan penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang turut berbaur perkauman dan homophobik.

Sebelum ini, Chelsea mengumumkan siasatan dalaman dan prosedur disiplin terhadap Fernandez berhubung kejadian itu.

Fernandez yang menyertai Chelsea dari Benfica dengan rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) berjumlah £105 juta (RM637.10 juta) kemudian meminta maaf secara terbuka.

“Lagu itu turut mempunyai bahasa berbaur serangan dan sudah tentu tiada alasan untuk menggunakan perkataan sedemikian.

“Saya menentang keras sebarang bentuk diskriminasi dan meminta maaf kerana terperangkap dalam keseronokan kami mempertahankan trofi Copa America.”

Fernandez turut meminta maaf kepada rakan sepasukannya di Chelsea selepas mereka berang dengan rakan sekerja mereka yang menyanyikan lagu kontroversi itu.

Sejurus video itu dimuatnaik, Fernandez dituduh sebagai perkauman oleh rakan sepasukannya dari Perancis, Wesley Fofana disusuli beberapa pemain Blues lain yang kemudian membuat keputusan drastik untuk tidak mengikutinya lagi di media sosial.

Hanya masa akan menentukan sama ada permohonan maaf Fernandez itu akan meredakan skuad Chelsea terutama rakan sepasukan dari Perancis yang menjadi sasaran lagu kontroversi itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top