PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk tidak memindahkan perlawanan Piala Dunia melibatkan pasukan Iran dari Amerika Syarikat (AS) ke Mexico, meskipun berdepan konflik di Asia Barat.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Jumaat berkata demikian dalam satu sidang media, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Iran memohon untuk tidak bermain dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan di AS berikutan serangan AS dan Israel pada 28 Feb lepas. Walaupun pertempuran telah dihentikan menerusi gencatan senjata yang rapuh, Washington masih memberi amaran untuk melancarkan serangan lanjut.
“FIFA akhirnya memutuskan bahawa perlawanan itu tidak boleh dipindahkan dari venue asal,” kata Sheinbaum.
Menurut beliau, daripada perspektif FIFA, pemindahan itu akan melibatkan “usaha logistik yang sangat besar.”
Badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini menyatakan keraguan terhadap permohonan Iran untuk memindahkan perlawanan menentang Belgium, New Zealand, dan Mesir pada kempen Piala Dunia yang dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di AS, Mexico, dan Kanada.
Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menegaskan agar Iran tetap mengambil bahagian meskipun hubungan antara Tehran dan Washington dalam keadaan tegang.
“Kami mahu Iran bermain dan Iran akan bermain di Piala Dunia. Tiada Pelan B, C atau D – hanya ada Pelan A,” kata Infantino kepada penyiar Mexico, N+ Univision, dua minggu lepas.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj baru-baru ini menyatakan bahawa pasukan itu memulaukan AS, tetapi bukan kejohanan Piala Dunia, tanpa mengulas lanjut butiran mengenainya, lapor agensi berita kerajaan, IRNA.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menyifatkan penglibatan Iran sebagai “tidak sesuai” atas faktor “nyawa dan keselamatan mereka sendiri.”
Di tengah-tengah gencatan senjata yang bermula Selasa, rundingan antara AS dan Iran bagi penyelesaian keamanan yang berkekalan dijadualkan berlangsung di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat.
Iran sebelum ini melancarkan serangan balas selepas serangan oleh AS dan Israel, termasuk menyasarkan negara-negara Teluk dan menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan perkapalan utama. – Bernama



