FIFA tukar keputusan, benarkan bawa sebotol air masuk stadium

FIFA tukar keputusan, benarkan bawa sebotol air masuk stadium
FIFA tukar keputusan, benarkan bawa sebotol air masuk stadium

Botol plastik lembut berkapasiti sehingga 590 mililiter dibenarkan di bawa ke dalam stadium.

PENYOKONG yang menghadiri perlawanan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada kini dibenarkan membawa masuk satu botol air plastik pakai buang yang masih belum dibuka ke dalam stadium.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan keputusan itu dibuat beberapa hari selepas badan induk berkenaan menyatakan bahawa botol air jenis guna semula adalah dilarang sama sekali atas faktor keselamatan.

Menurut FIFA, penonton dibenarkan membawa satu botol plastik lembut berkapasiti sehingga 590 mililiter ke dalam venue perlawanan namun menegaskan botol jenis keras dan boleh diguna semula tetap tidak dibenarkan.

Ketua Pegawai Operasi FIFA, Heimo Schirgi berkata, sekatan tersebut dilakukan atas pertimbangan keselamatan kerana botol minuman merupakan antara barangan yang boleh mendatangkan risiko kecederaan sekiranya dibaling ke dalam padang.

Penjelasan terbaharu itu dibuat selepas FIFA mengemas kini kod etika stadium minggu ini sekali gus membatalkan panduan sebelum ini yang membenarkan botol plastik kosong jenis lut sinar dan boleh diguna semula dibawa masuk ke dalam stadium.

Langkah mematikan keputusan awal itu sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong berhubung risiko dehidrasi semasa perlawanan terutamanya di venue yang dijangka mencatatkan suhu tinggi.

Bagaimanapun, FIFA menjelaskan bahawa bandar-bandar penganjur akan menyediakan langkah pencegahan haba di sekitar stadium termasuk stesen hidrasi, kawasan semburan kabus dan khemah penyejuk.

Selain itu, pihak penganjur turut memberi jaminan bahawa harga air minuman di dalam stadium akan kekal konsisten dengan harga yang biasa dikenakan pada acara-acara lain di venue terbabit.

Kempen Piala Dunia kali ini akan membuka tirainya pada Khamis depan dengan menyaksikan aksi pembukaan antara tuan rumah, Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca.

Mesti Baca

Scroll to Top